Al-Quran ‘sentuh’ jiwa untuk berubah – Penyampai radio

Al-Quran ‘sentuh’ jiwa untuk berubah – Penyampai radio

KUALA LUMPUR – Penyampai radio popular tanah air, Faizal Ismail mendedahkan bahawa al-Quran merupakan sebab utama beliau mahu berubah untuk memiliki kehidupan yang lebih baik.

Faizal berkata, perasaan ingin berubah itu muncul apabila ALLAH SWT ‘menjentik’ hatinya untuk menghayati ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab suci tersebut.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang dan ruang untuk menghayati al-Quran dan tersedar bahawa banyak pesanan dan perintah yang ALLAH SWT titipkan tetapi kita gagal untuk memahami dan mematuhinya.

“Kita tidak sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan biasa tetapi perlu meletakkan kitab tersebut pada hati dan menjadikan ia sebagai petunjuk utama dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di Program World #QuranHour 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Tambah beliau lagi, sekiranya orang ramai menjadikan kitab itu sebagai panduan, ia sememangnya akan membantu dalam mencorakkan kehidupan seharian yang lebih baik.

Dalam pada itu, Faizal menyifatkan bahawa program World #QuranHour sebagai inisiatif terbaik dalam membantu orang ramai memahami dan menghayati makna sebenar di sebalik surah dalam al-Quran.

Pada masa sama, beliau berharap agar lebih banyak pihak seperti organisasi syarikat dan sekolah mengadakan majlis tadarus al-Quran bagi membudayakan amalan membaca kitab suci itu dalam kalangan masyarakat.

Sumber