Agrobank lantik Tengku Ahmad Badli Shah Presiden/ CEO baharu

Agrobank lantik Tengku Ahmad Badli Shah Presiden/ CEO baharu

AGROBANK telah melantik Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif baharunya berkuat kuasa 3 Januari 2022.

Beliau berpengalaman lebih dari 29 tahun dalam industri perbankan dan kewangan.

Pengerusi Datuk Mustapha Buang berkata, pengalaman luas Tengku Ahmad Badli Shah dalam perancangan strategik, pembangunan perniagaan, perundangan dan pembiayaan patuh syariah, ditambah pula dengan kemahiran kepimpinan dan visinya yang kukuh, akan mengukuhkan lagi kedudukan Agrobank sebagai institusi kewangan pertanian terkemuka di Malaysia.

“Pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah menandakan dedikasi berterusan Agrobank untuk memastikan kejayaan Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021 – 2025 yang sedang berlangsung, sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian negara.

Pihak Lembaga Pengarah Agrobank juga yakin bahawa beliau mampu memacu dan menerajui fasa penting Agrobank, seterusnya membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mengubah landskap kewangan berasaskan pertanian melangkaui perbankan sejajar dengan panduan yang digariskan dalam pengantaraan berasaskan nilai (VBI),” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank adalah sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI) yang penting dalam membantu membentuk kejayaan masa depan bagi sektor pertanian.

“Agrobank telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam memenuhi peranan yang telah dimandatkan kepadanya terutama dalam tempoh pandemik Covid-19. Ini menandakan kejayaan kepimpinan pengurusan bank dan dedikasi serta komitmen warga kerja agrobank,” katanya.

Sebelum berkhidmat di Agrobank, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di beberapa institusi kewangan yang besar di Malaysia seperti Pelaburan MARA Berhad (PMB), Kuwait Finance House dan HSBC Bank Malaysia Berhad.

Beliau merupakan Ahli Felo Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dan telah menghadiri Program Kepimpinan Kewangan Islam di Kolej Clare, Universiti Cambridge, United Kingdom dan Program Kepimpinan Eksekutif di Universiti Cornell, Amerika Syarikat.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, LLB (Kepujian) di Universiti East Anglia, Norwich, England.- Bernama

Sumber