‘Kongsi Rayaaa’ peluang pelabur bantu golongan memerlukan

‘Kongsi Rayaaa’ peluang pelabur bantu golongan memerlukan

SEDAR-sedar kita sudah masuk hari kelapan berhari raya dan hari kelapan juga kita meninggalkan bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat yang terkandung malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

ALLAH SWT membuka pelbagai pintu bonus untuk kita meraih keuntungan besar dengan salah satunya melalui ibadah sedekah.

Manfaat kepada orang lain

Memetik petikan daripada Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Kedah, Islam menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan pada bulan Ramadan, amalan ini menjadi lebih dianjurkan lagi.

Demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin iaitu dermawan. ALLAH dan Rasul-Nya memerintah bahkan memberikan contoh kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah.

Ketahuilah bahwa kedermawanan adalah salah satu sifat ALLAH SWT sebagaimana hadis:

“Sesungguhnya ALLAH SWT itu Maha Memberi. Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al Baihaqi, disahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’ 1744)”

Orang yang kaya melalui pelaburan saham itu biasa kita dengar tetapi jika boleh, kita menjadi orang kaya, boleh kayakan dan beri manfaat pada orang lain, itulah pelabur dermawan yang sejati.

Di bulan yang penuh keberkatan, kami telah lancarkan program ‘Kongsi Rayaaa’ di mana kami bersama-sama telah menyampaikan hasil sumbangan para alumni The Protege berjumlah RM200,000 kepada beberapa pertubuhan untuk pembangunan ummah dan berinfak Kit Hidangan Raya kepada insan yang memerlukan supaya mereka dapat merasai kemeriahan sambutan hari raya.

Pelabur kaya

Kita semua mahukan keuntungan dan kemenangan, tiada individu pun yang mahukan kekalahan atau kerugian. Tidak kira di dalam pelaburan mahupun apa jua bidang yang diceburi apatah lagi yang melibatkan komitmen.

Tapi kenapa ada orang boleh gagal dan berjaya dalam pelaburan?

Niat asalnya hendak bersungguh-sungguh buat dan fokus menggandakan simpanan di dalam pelaburan saham tetapi akhirnya malas, hangat-hangat tahi ayam dan tidak boleh beri komitmen untuk fokus. Sehingga hari demi hari berlalu pergi begitu sahaja.

Jika ingin menjadi pelabur berjaya dan dermawan, kita mesti fokus, jangan putus asa dan aplikasikan segala ilmu yang dipelajari.

Semoga sinar Syawal dapat memberikan seribu keberkatan buat semua dan kita sama-sama teruskan ibadat yang telah diamalkan seperti sedekah dan menjaga silaturahim bukan sahaja di bulan Ramadan atau Syawal, tetapi perlu diteruskan pada bulan-bulan yang lain.

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca Sinar Harian. Semoga ibadah kita diterima oleh-Nya.

* Mohd Asri Ahmad ialah Mentor Pelaburan Saham Syariah

Sumber