74 peratus CEO Malaysia jangka pertumbuhan ekonomi menurun

74 peratus CEO Malaysia jangka pertumbuhan ekonomi menurun

SEBANYAK 74 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia percaya, pertumbuhan ekonomi global akan menurun dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut tinjauan CEO Global Tahunan ke-26 PricewaterhouseCoopers (PwC), angka itu adalah sama dengan sentimen melibatkan hampir tiga perempat iaitu 73 peratus CEO di seluruh dunia.

“Ia adalah perubahan ketara daripada prospek 2021 dan 2022 yang lebih optimis, apabila lebih daripada tiga perempat di seluruh dunia (masing-masing 76 peratus dan 77 peratus) berpendapat, pertumbuhan ekonomi akan bertambah baik.

“Trend tersebut adalah serupa di Malaysia, yang mana sentimen tempatan berbeza pada 2022, apabila 92 peratus CEO Malaysia menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi global. Pada 2021 pula, 71 peratus menyatakan optimistik,” katanya dalam laporan tinjauan berkenaan, pada Khamis.

Tinjauan itu melibatkan 4,410 CEO di 105 negara dan wilayah pada Oktober dan November 2022.

Berdasarkan laporan berkenaan, di samping persekitaran yang mencabar, hampir 40 peratus CEO di seluruh dunia dan 51 peratus CEO Malaysia berpendapat, organisasi mereka tidak akan berdaya maju dari segi ekonomi dalam tempoh sedekad jika meneruskan hala tuju semasa.

“Corak ini konsisten merentas pelbagai sektor di seluruh dunia, termasuk telekomunikasi (46 peratus), pembuatan (43 peratus), penjagaan kesihatan (42 peratus) dan teknologi (41 peratus).

“Di peringkat global, keyakinan CEO terhadap prospek pertumbuhan syarikat mereka sendiri juga merosot secara mendadak sejak tahun lalu (-26 peratus), penurunan terbesar sejak krisis kewangan 2008-2009 apabila penurunan sebanyak 58 peratus direkodkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan tersebut turut mendedahka, CEO sedang mencari kaedah untuk mengurangkan kos dan merangsang pertumbuhan hasil sebagai tindak balas kepada iklim ekonomi semasa.

“Sebanyak 52 peratus daripada CEO global (74 peratus di Malaysia) melaporkan, mahu mengurangkan kos operasi manakala 51 peratus secara global (40 peratus di Malaysia) melaporkan kenaikan harga.

“48 peratus secara global (63 peratus di Malaysia) pula melaporkan, mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, lebih separuh di seluruh dunia atau 60 peratus, mengatakan mereka tidak merancang untuk mengurangkan saiz tenaga kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang,” menurut laporan itu.

Sumber