700 dijangka jayakan Malaysia #QuranHour di Masjid MTNP

700 dijangka jayakan Malaysia #QuranHour di Masjid MTNP

Mohd Rozamli (tiga kanan) bersama warga MTNP yang akan menjayakan #Quranhour di masjid pusat pengajian Islam itu pada Selasa ini.

Mohd Rozamli (tiga kanan) bersama warga MTNP yang akan menjayakan #Quranhour di masjid pusat pengajian Islam itu pada Selasa ini.

KUANTAN – Program Malaysia #QuranHour 2022 akan diadakan pada 30 Ogos ini dijangka disertai seramai 700 peserta di Masjid Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Setiausaha Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang (PRNP) merangkap penyelaras program, Mohd Rozamli Mohd Razak berkata, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad akan hadir dan merasmikan program terbabit.

Beliau juga mengesahkan bahawa pentadabbur iaitu Muhammad Uwais Qarni Abd Wahad, mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ribat al Mustafa akan turut serta menjayakan program ini termasuk pelbagai agensi daripada kerajaan Pahang seperti Yayasan Pahang, MTNP dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Selain di MTNP, beberapa lokasi pilihan RumahNgaji di Pahang akan menjayakan aktiviti dengan berinteraksi surah Al-Sajdah sama ada melalui penganjuran sendiri atau mengikuti program secara langsung melalui siaran pilihan.

“Di samping itu, wakil-wakil sekolah di daerah Kuantan turut serta dalam program yang berlangsung pada 30 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau menjelaskan program yang diadakan sempena hari kemerdekaan Malaysia itu bagi mengajak rakyat untuk meraikan hari kemerdekaan dengan kembali mendidik diri menerusi nilai-nilai dari al-Quran.

“Tahun ini kita mengajak untuk kita berinteraksi dengan al-Quran, fokus membaca, faham dan amal tadabbur dari Surah Al-Sajdah.

“Mesej utama surah ini adalah untuk membetulkan semula gaya hidup dalam kesibukan masa kini termasuk fitnah ujian hidup yang pelbagai memerlukan kita masa bertahajud mengadu, merayu (sujud) dan gandaan infaq serta banyak bersabar untuk mencapai apa yang diimpikan dalam hidup,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Mohd Rozamli menzahirkan rasa berterima kasih kepada MTNP kerana sudi bersinergi untuk menjayakan program kali ini.

“Saya dapat lihat sokongan padu dari warga MTNP terutamanya dalam kalangan penuntut, pensyarah dan Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Khalil Mohd Zari al Hafiz.

“Semoga program ini memberi impak yang besar kepada umat untuk sentiasa meletakkan roh al-Quran tersemat di hati dan akal dalam setiap nadi kehidupan. #Malaysia Bersujud Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya.

Program Malaysia #QuranHour 2022 bermula jam 11.30 hingga 1 tengah hari.

Sumber