530 pelanggan Bank Rakyat menang cabutan bulanan bernilai RM330,000

530 pelanggan Bank Rakyat menang cabutan bulanan bernilai RM330,000

SERAMAI 530 pelanggan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat memenangi cabutan bulanan wang tunai berjumlah keseluruhan RM330,000 sejak akaun pelaburan itu diperkenalkan pada Julai 2022.

Hadiah cabutan bulanan itu yang dilaksanakan bagi menghargai sokongan dan kepercayaan pelanggan merangkumi kategori hadiah utama yang mana seramai 10 pelanggan terpilih menerima wang tunai RM10,000 setiap seorang manakala 15 pelanggan lagi membawa pulang RM5,000 setiap seorang.

Hadiah sagu hati berjumlah antara RM1,000 hingga RM100 turut dimenangi oleh pelanggan bertuah yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang mendapat sambutan baik daripada pelanggan bank itu bukan sahaja membolehkan pelanggan melabur dalam aktiviti kewangan patuh syariah malah berpeluang memenangi cabutan hadiah menarik yang ditawarkan.

“Inisiatif yang dijalankan ini selaras dengan komitmen Bank Rakyat dalam memupuk tabiat melabur dan menyimpan dalam kalangan masyarakat.

“Bank sentiasa menggalakkan pelanggan untuk melabur dan menyimpan secara konsisten bagi memenuhi komitmen kewangan mereka. Lebih menarik lagi, cabutan kempen setengah tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus akan dilaksanakan pada Februari 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Bank Rakyat sentiasa komited untuk mendekati pendeposit dan pelanggan bagi menggalakkan mereka menabung, melabur dan bijak merancang kewangan.

“Menerusi simpanan dan pelaburan, pelanggan dapat membentuk jaringan keselamatan untuk mengharungi sebarang jangkaan cabaran ketidakstabilan ekonomi,” kata Mohammad Hanis.

Beliau berkata, pelanggan yang bertuah berpeluang memenangi hadiah berjumlah RM100,000 dengan hanya perlu mengekalkan purata baki bulanan minimum RM1,000 selama enam bulan.

Sementara itu, salah seorang pemenang, Rohana Mohd Kassim dari Selangor berkata, beliau bersyukur kerana mendapat rezeki dari punca yang tidak disangka.

“Saya gembira dipilih memenangi RM5,000 dan saya merasakan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus ini merupakan penggalak untuk orang ramai melabur sambil berpeluang memenangi hadiah wang tunai,” ujar Rohana.

Bagi pemenang lain, Aminah Ab Rahman dari Melaka, beliau mengeluarkan duit persaraannya dari bank lain dan melabur dalam Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.

Aminah berkata, dia amat bersyukur kerana memenangi cabutan bertuah pada bulan kedua menyertai pelaburan itu, pada masa yang sama menjadikan akaun tersebut sebagai pelaburan bersama rakan-rakannya.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat berhubung Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menerusi laman web dan media sosial rasmi Bank Rakyat, perkhidmatan perbankan internet iRakyat atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 serta mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran.

Sumber