12 syarikat terima Anugerah LEP

12 syarikat terima Anugerah LEP

Chin Tong (Tengah) ketika melawat reruai semasa malam anugerah

Chin Tong (Tengah) ketika melawat reruai semasa malam anugerah

SEBANYAK 12 syarikat yang terdiri daripada milik tempatan dan Jepun menerima Anugerah Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang disampaikan ketika Majlis Makan Malam Gala anjuran Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS) pada Sabtu.

Anugerah tersebut meliputi sembilan kategori iaitu Penubuhan Pendidikan, Kadar Pengambilan Kerja Tinggi Rakan LEP, Pelaburan Baharu, Pelaburan Kawasan Luar Bandar, Perniagaan dan Perkhidmatan Cemerlang, Penubuhan Awal, Pelaburan Tinggi, Pemindahan Teknologi Lanjutan serta Usahawan Inspirasi Rakan LEP.

Bagi kategori Anugerah Penubuhan Pendidikan, ia dimenangi oleh Syarikat Teikyo (Malaysia) Sdn Bhd sementara Anugerah Kadar Pengambilan Kerja Tinggi Rakan LEP pula dirangkul DXC Technology.

Anugerah Pelaburan Baharu pula diberikan kepada Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd manakala Anugerah Pelaburan Kawasan Luar Bandar dinobatkan kepada Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd.

Aeon Co (M) Bhd muncul sebagai penerima untuk kategori Anugerah Perniagaan dan Perkhidmatan Cemerlang sementara Toray Group Malaysia pula di bawah Anugerah Penubuhan Awal.

Kategori Pemindahan Teknologi Lanjutan dimenangi oleh dua syarikat iaitu DRB-Hicom Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Sementara itu, tiga syarikat antaranya Robopreneur Sdn Bhd, Akar Indah Engineering Sdn Bhd dan Twistcode Technologies Sdn dinobatkan sebagai penerima kategori Usahawan Inspirasi Rakan LEP.

Presiden ALEPS, Isrami Ismail ketika program tersebut menzahirkan terima kasih terhadap perusahaan berkenaan yang telah membantu memajukan pembangunan negara.

“Kami berharap menerusi Anugerah LEP ini akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dan kerjasama pada masa hadapan dengan pemain industri dari Jepun,” ujar beliau.

Hadir sama ketika majlis tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Sumber