“X PERLU” PENGENALAN SULUNG CASSIA

“X PERLU” PENGENALAN SULUNG CASSIA

Pengaruh muzik secara berkumpulan sentiasa mendapat perhatian di serata dunia termasuk Malaysia. Rata-rata mereka yang penyanyi berkumpulan mempunyai pengikut media sosial yang lebih tinggi terutamanya kumpulan K-Pop dari Korea.

Trend yang melanda industri muzik masa kini memberi inspirasi kepada Alternate Records & Talents dan akhirnya menghasilkan ‘girl group’ yang diberi nama CASSIA dengan lagu berjudul ‘X Perlu’. Ahli kumpulan CASSIA ini dianggotai oleh empat orang ahli yang berpengalaman dalam bidang nyanyian dan tarian iaitu Ayana, Shadida, Meyrasam dan Sheemal. Keempat-empat mereka merupakan rakan karib dan keserasian mereka membuatkan perjalanan rakaman lagu menjadi lebih lancar. 

Pengalaman mereka sebagai koreografer dan menari di persembahan-persembahan besar mengiringi beberapa penyanyi terkenal tanah air membuatkan mereka lebih berkeyakinan tinggi. Lagu ‘X Perlu’ juga kini mendapat perhatian pendengar dan dipersembahkan dalam Anugerah Drama Sangat baru-baru ini. 

Ayana merupakan koreografer yang amat disegani dan beliau pernah mengendalikan persembahan Dato’ Sri Siti Nurhaliza di Asean Music Festival di Tokyo pada tahun 2014 & 2018. Shadida juga merupakan koreografer dan sering terlibat dalam muzik video artis Malaysia sebagai penari latar. Meyrasam pula pernah membuat persembahan di hadapan Barack Obama, Prince William dan Princess Kate pada tahun 2012 dan 2015. Manakala Sheemal pula pernah mewakili Malaysia untuk persembahan di Japan, Korea, Bahrain, Dhaka, Indonesia.

Lagu ‘X Perlu’ nyanyian CASSIA ini membawakan muzik yang berentak pop dance dan ditulis oleh Amir Hasan, Axel Jonas, Ezra Kairo dan Somean. Lagu ini dicipta oleh Mingaling selaku penerbit yang sememangnya terkenal dengan penciptaan muzik berentak pop dance.  

Menurut Puan Nor Shahila Harun Shah, Pengurus Besar Kanan, Program Penerbitan Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Misi Alternate Records dan Talents adalah untuk menggilap bakat-bakat yang sedia ada di luar sana. Contohnya kumpulan CASSIA sudah lama dalam bidang industri seni dan kami dapati mereka sangat berbakat dan membuatkan kami ingin menggilap dan mengetengahkan bakat mereka yang ada ke dunia hiburan secara rasmi. Kita boleh lihat kegigihan mereka dan juga semangat yang ditunjukkan selain fokus mereka untuk lebih serius dalam industri ini. Selain itu, bakat tarian mereka menjadi taruhan untuk kumpulan CASSIA ini bersaing dengan kumpulan yang sedia ada di luar sana. Genre muzik yang dibawakan mereka pula adalah trend kepada remaja masa kini dan kumpulan ini sering menjadi bualan hangat di Tik Tok dan platform media sosial lain. Saya yakin, dengan kehadiran CASSIA ini pasti dapat memeriahkan lagi industri muzik tanah air kita. “

Muzik Video X Perlu ini sudah boleh di tonton di Youtube Alternate Records & Talents bermula pada 18 Disember 2021 dan juga boleh didengari di semua pelantar digital bermula pada 24 Disember 2021.