Penyerahan Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

Penyerahan Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

Kerajaan Negeri Selangor yang menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor telah mengadakan sebuah Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) kepada 100 orang penerima program subsidi lesen yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor ketika sesi pembentangan Belanjawan Selangor 2020 pada tahun lalu.
Dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, inisiatif ini telah memberi begitu banyak manfaat kepada hampir 3,000 penerima yang layak bagi mendapatkan faedah subsidi lesen motosikal iaitu sebanyak RM350, caruman PERKESO berjumlah RM70 bagi tempoh setahun dan subsidi kit penghantaran makanan serta latihan e-hailing bernilai RM150.
Program RiDE turut mendapat kerjasama Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC), Bungkus It, Zepto Express dan Warong Rider yang mengendalikan kursus serta latihan e-hailing kepada penerima insentif.
Secara keseluruhannya, RiDE telah menerima sebanyak 22,321 permohonan sejak program ini mula dibuka pada 1 Ogos 2020 dan seramai 1,980 pemohon telah dikenal pasti dan layak untuk menerima manfaat daripada program ini.
Program RiDE ini merupakan salah satu insentif bantuan oleh Kerajaan Negeri yang diperkenalkan dalam Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020 bagi membantu anak-anak muda miskin bandar dalam meningkatkan ekonomi diri.
Malah semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2021, YAB Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi meneruskan Program Ride pada tahun 2021 berdasarkan keupayaan program ini untuk menjadi platform terbaik kepada generasi muda menceburi pasaran ekonomi gig.