PASTIKAN ‘HOMEWORK’ ITU CUKUP!JURI MELETAK ARAS TANDA LEBIH TINGGI

PASTIKAN ‘HOMEWORK’ ITU CUKUP!JURI MELETAK ARAS TANDA LEBIH TINGGI

Lagu Cinta Kita Musim Ketiga sudah berlangsung 4 episod dan masih berbaki lagi 4 episod. Persaingan antara para peserta semakin sengit dan adakah pilihan lagu serta persediaan yang dilakukan oleh mereka sudah mencukupi untuk menambat hati kesemua juri dan penonton? . Episod 4 yang baru bersiaran pada hari Ahad yang lepas menyaksikan Ajai dan Mas Idayu selaku juri tetap meletakkan tanda aras yang lebih tinggi pada enam pasangan duet yang bertanding. Ziana Zain yang hadir sebagai juri jemputan juga tidak mengambil mudah dalam memberikan penilaian markah dan berkongsi nasihat dan pandangan beliau. Panel juri berpendapat bahawa para peserta perlu membuat persediaan lebih rapi dan sentiasa bersedia untuk keluar dari zon keselesaan masing-masing.  

Terkini, Lagu Cinta Kita Musim Ketiga menyingkirkan satu lagi pasangan duet iaitu Norman & Hazreen (Norman Hafizi dan Hazreena Amreena). Lagu ‘Ku Merindu’ yang dipertaruhkan gagal menonjolkan kekuatan vokal dan tiada kejutan dalam konsep persembahan. Hanya lima pasangan duet yang berjaya meneruskan perjalanan mereka iaitu Hariz & Wanie (Fadli Hariz dan Norwanie), Pasya & Puteri (Faizul Asyraf dan Puteri Khareeza), Syafeek & Zazo (Shafeek Ikhwan dan Zaleha Zolkepli), Malhamka & Yuveena (Ikhmal Hamka dan Yuveena Gunainthran) dan  Kay & Ika (Nur Khaidir dan Nursyafiqah). 

Pasangan Hariz dan Wanie tampil yakin dengan genre lagu rock telah menggemparkan studio dan menerima markah paling tinggi daripada panel juri. Walaupun lagu ‘Kesal’ yang dipilih itu bukanlah forte kedua-dua peserta ini, namun usaha keras mereka berbaloi apabila berjaya menguasai pentas tersebut. Persembahan Pasya dan Puteri pula menampakkan sedikit kekurangan apabila Pasya melakukan kesilapan kecil di hujung nyanyian itu. Lagu ‘Sumpah’ dilihat tidak sesuai untuk berduet, hanya Puteri yang menyerlah atas pentas manakala vokal Pasha pula tenggalam dan jelas kelihatan kerisauan untuk melakukan kesilapan. 

Pasangan duet Malhamka dan Yuveena juga menerima kritikan apabila Malhamka kelihatan berjaga-jaga dalam persembahan lagu pilihan mereka, ‘Sampai Syurga’. Walaupun pasangan duetnya ditegur, Yuveena pula menerima pujian kerana sudah memahami konsep berduet ketika beraksi di atas pentas. Persembahan nyanyian oleh Syafeek dan Zazo menerusi lagu pilihan, ‘All I Ask’ tidak berjaya menambat hati juri jemputan, Ziana Zain kerana Syafeek kelihatan ‘struggle’ untuk mencapai range vokal itu. Ajai memberi pujian kepada Syafeek dan Zazo atas pemilihan lagu yang dapat mencabar vokal. Kay dan Ika yang menduduki tangga paling bawah (bottom 2) berjaya memberikan persembahan yang baik menerusi lagu ‘Asmara Bergelora’ tetapi mereka diingatkan untuk memilih lagu yang dapat mencabar vokal mereka di pusingan seterusnya. 

Episod seterusnya akan menampilkan tema ‘Cinta Agung’ dalam persembahan para peserta, nantikan kemunculan Liza Hanim sebagai juri jemputan dan Amir Masdi sebagai artis jemputan. 

Lagu Cinta Kita Musim Ketiga diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Shazreena Binti Mohd Kassim sebagai penerbit eksekutif dan Muhammad Saiful Bin Saharudin sebagai penerbit. Program ini diterbitkan bersama dengan kerjasama Motion Content dan TV3 dengan menampilkan CELCOM, FLAVETTES NUTRISKINCARE dan NIVEA sebagai penaja, Hot FM sebagai rakan radio rasmi serta Oh Bulan & Xtra sebagai rakan digital. 

Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan menyaksikan siaran langsung pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam ini boleh terus strim live HD di www tonton.com.my dan Youtube TV3Malaysia Official.