My Jet Xpress Airlines mengembangkan kargo ke China

My Jet Xpress Airlines mengembangkan kargo ke China

SUBANG: My Jet Xpress Airlines berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan kargonya ke beberapa wilayah di China seperti Shenzhen iaitu pada suku pertama tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Hisham Abdul Wahab berkata adalah tepat pada masanya bagi syarikat penerbangan itu untuk menceburi pasaran China memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan kargo dilihat sangat tinggi dan menggalakkan di tengah-tengah masalah pandemik COVID-19.
Selain itu, syarikat penerbangan kargo itu juga bakal menambah sejumlah kekerapan dengan pesawat baharunya, 9M-NEW yang mula beroperasi pada malam semalam.
“Mulai minggu depan dan minggu seterusnya, kami juga akan menambah kekerapan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak untuk operasi ekspres, di samping mengendalikan perkhidmatan biasa ke Singapura, Indonesia serta Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan dan Perasmian Penerbangan (9M-NEW), semalam.
Menurut Azrul Hisham lagi, pesawat baharu keempat itu dirancang memulakan operasi pada suku kedua 2021, namun dipercepatkan ke tahun ini berikutan permintaan pasaran yang amat menggalakkan.
“Kami akan menambah satu lagi kekerapan pada 5 petang dan 6 petang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching, masing-masing kepada seawal 11 pagi setiap hari ke kedua-dua tempat,” katanya.
Beliau berkata My JET juga bercadang untuk meneroka segmen lain dalam industri penerbangan iaitu sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Kami juga sedang meneliti projek pengangkutan vaksin memandangkan kami mempunyai infrastruktur yang mencukupi serta peralatan yang relevan bagi operasi seperti itu, tetapi terlalu awal untuk meramalkan, kerana kita masih belum mendapat vaksin di Malaysia,” katanya lagi.