TIRAI besi bukan penghujung sebuah kehidupan, sebaliknya bagaikan sebuah ‘institusi kehidupan’ untuk seseorang itu bangkit dari kejatuhan, penyesalan dan dosa, serta tidak mengulangi lagi kesalahan lampau.
Menurut Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di bawah Yadim, Dr Hafidzah Mustakim, kehidupan di sebalik tembok pemisah itu, bukanlah semata denda mahupun penyeksaan, tetapi peluang untuk seseorang itu dibimbing agar menjadi insan yang lebih baik di sisi Tuhannya.
Jelas beliau, keperitan terperangkap dalam dinding bata, pada saat seluruh umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi sudah tentu menyakitkan. Namun, di sebalik ujian itu, sebenarnya tersimpan hikmah yang cukup manis untuk direnungi.
“Mereka ini sebenarnya insan terpilih. Kehidupan di penjara membolehkan pesalah menjadi lebih fokus untuk beribadah serta bebas dari godaan dunia. Sekiranya mereka memahami hakikat diturunkan ujian, nescaya hati akan terasa tenang, serta dapat merasai manisnya iman. Maka, raikanlah Syawal dengan penuh sabar, gembira dan kemenangan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Iftar Jamaie dan ceramah Perdana Ramadan di Penjara Wanita Kajang pada 29 Mei 2019 lalu.
Turut hadir, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abd. Kadir Rais, Timbalan Pengerusi Yadim, Ustaz Zolkharnain Abidin, ahli jawatankuasa MPWIM, Hadijah Ishak, Farwina Faroque, Rohani Mohd Shahir, Hazlina Abd Razak dan Azlina Roszy Mohd Ghaffar.
Program anjuran Yadim dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Penjara Malaysia dan Penjara Wanita Kajang itu turut diisi ceramah daripada Dr Hafidzah Mustakim dan Ustaz Zolkharnain Abidin.
Membincangkan tajuk ‘Ramadan Mendidik Hati dan Peribadi. Di antara intipati forum tersebut adalah, mengingatkan para penghuni tentang takdir dan melihatnya dari sisi positif.