MAJLIS PELANCARAN KEMPEN TABUNG PAHLAWAN TAHUN 2020

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN TABUNG PAHLAWAN TAHUN 2020

ASAS PELAKSANAAN ACARA KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2020

Pada masa ini Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM merupakan satu-satunya jabatan di bawah Kementerian Pertahanan yang dipertanggung jawabkan untuk menjaga hal ehwal kebajikan dan sosioekonomi Veteran ATM di Malaysia. Selain daripada tugas-tugas membayar pencen dan memberikan bantuan kebajikan kepada para veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Kempen Tabung Pahlawan 2019 yang diambil alih daripada Persatuan Veteran ATM (PVATM) selaras keputusan yang dibuat semasa Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK). Sebelum ini, JHEV ATM telah menganjurkan Kempen Tabung Pahlawan pada tahun pada 2010, 2011 dan 2012. Kempen Tabung Pahlawan ini dilaksanakan mulai Julai 2020 hingga Julai 2021 dengan mensasarkan jumlah kutipan iaitu RM 10 Juta sepertimana sasaran yang telah dicapai pada tahun 2019.

INFO KEMPEN TABUNG PAHLAWAN

Sejarah Kempen Tabung Pahlawan bermula pada tahun 1950 yang dipertanggungjawabkan kepada Persatuan Bekas Tentera Malaya (Ex Service Association of Malaya) di bawah pimpinan Bekas Tentera British yang berkhidmat di Malaya selepas Perang Dunia Kedua. Dikenali sebagai ‘Poppy Day’ yang sinonim dengan kempen yang dianjurkan di Britain. Selepas kemerdekaan ‘Poppy Day’ telah ditukar kepada Tabung Pahlawan dan lambang bunga poppy ditukar kepada lambang bunga raya. 

Kempen  Tabung Pahlawan telah diwujudkan bagi mengiktiraf pengorbanan para pahlawan negara serta mendapatkan sumbangan untuk dimanfaatkan kepada Veteran ATM, balu dan keluarga veteran yang kurang bernasib baik. Tujuan Kempen Tabung Pahlawan dibuat secara menyeluruh untuk mencapai objektif-objektif seperti berikut:

  • Sebagai PENGHARGAAN ATAS PERJUANGAN SERTA PENGORBANAN para Pahlawan Negara dalam mempertahankan dan mengekalkan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara. Ia juga bagi MENYEMAI DAN MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTISME dan sifat kecintaan terhadap negara dalam diri setiap warganegara Malaysia khususnya generasi muda.
  • Antara objektif KTP adalah memberi kesedaran kepada masyarakat di atas pengorbanan dan jasa bakti para pahlawan tanah air yang berkorban demi mempertahankan negara yang tercinta.
  • Menyokong usaha kerajaan dalam mendapatkan sumbangan untuk manfaat kebajikan dan memberi bantuan kepada para Veteran ATM dan keluarga mereka yang memerlukan seperti bantuan sara hidup bagi mereka yang tidak berkemampuan, keperluan peralatan dan rawatan perubatan, bantuan pendidikan untuk anak-anak Veteran ATM, bantuan kebajikan meliputi Veteran Kurang Upaya (VKU), balu dan tanggungan yang diberi keutamaan adalah dari kalangan asnaf dan daif.

MANFAAT DARIPADA HASIL KEMPEN TABUNG PAHLAWAN

Manfaat sumbangan Tabung Pahlawan akan disalurkan untuk tujuan bantuan kebajikan kepada Veteran ATM dan ahli keluarga yang memerlukan secara menyeluruh. Bantuan ditumpukan kepada  veteran ATM dan balu veteran yang dalam keadaan daif, bantuan kepada asnaf Veteran ATM, sumbangan bagi Veteran, balu dan anak-anak dalam kategori Orang Kelainan Upaya, bantuan perubatan meliputi peralatan sokongan pesakit dan sebagainya, memberi bantuan kebajikan kepada veteran yang terlibat dalam musibah antaranya kebakaran, bencana alam yang menimpa seperti banjir dan ribut, bantuan pendidikan dan juga anak yatim veteran yang memerlukan.

Agihan dana KTP tahun 2019 berjumlah RM5.3 juta telah dibuat kepada 74 Persatuan Veteran yang berdaftar dengan JHEV ATM bertujuan untuk menyantuni Veteran-veteran ATM yang daif dan memerlukan. Sumbangan juga disampaikan melalui program kebajikan iaitu CAKNA VETERAN yang telah dilaksanakan di seluruh negara adalah salah satu agenda untuk terus membela dan menjaga kesejahteraan para Veteran ATM dan tanggungan.

RANCANGAN KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2020

Sejajar dengan wabak COVID-19 yang masih lagi terkesan, maka acara-acara untuk meraikan Kempen Tabung Pahlawan 2020 tidak dibuat dalam skala yang besar sepertimana tahun lepas. Pelaksanaan Kempen Tabung Pahlawan 2020 adalah berdasarkan norma baharu berikutan isu penularan wabak COVID-19. Platform digital akan diguna sepenuhnya dalam kempen kali. Tujuan kempen diadakan adalah bagi mendapatkan sumbangan daripada badan kerajaan, syarikat Government-Linked Company (GLC), syarikat swasta serta rakyat Malaysia sebagai PENGHARGAAN ATAS PERJUANGAN SERTA PENGORBANAN para Pahlawan Negara dalam mempertahan dan mengekalkan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara.

Dalam perancangan akan dibuat jualan barangan berkaitan KTP secara online melalui portal Tabung Pahlawan, bagi meningkatkan kutipan akan diadakan Majlis Makan Malam Amal melalui acara jualan meja sumbangan, Majlis Penghargaan bagi  mengenang dan menghargai para penyumbang Kempen Tabung Pahlawan dirancang diadakan pada bulan September 2020 serta acara kutipan amal antaranya melalui pertandingan golf atau kayuhan basikal.

KAEDAH SUMBANGAN

  • Sumbangan secara atas talian melalui Portal Kempen Tabung Pahlawan di pautan http://tabungpahlawan.jhev.gov.my
  • Perbankan online/ cek/ wang pos:
  • AFFIN BANK atas nama akaun TABUNG RAYUAN HARI PAHLAWAN (1059 5000 3201)
  • CIMB ISLAMIC atas nama YAYASAN VETERAN ATM (10350000253332
  • Sumbangan Corporate Social Responsibility (CSR) daripada syarikat korporat amat dialu-alukan.
  • Kutipan melalui Persatuan-Persatuan Veteran ATM di seluruh negara.
  • Sumbangan daripada syarikat Government-Linked Company (GLC), syarikat swasta dan seluruh rakyat Malaysia amat digalakkan.
  • Sumbangan berbentuk penajaan atau barangan juga diterima.

FAEDAH KEPADA PENYUMBANG SYARIKAT KORPORAT

Setiap sumbangan oleh syarikat korporat dan swasta akan mendapat faedah seperti berikut :

  • Sumbangan kepada Tabung Pahlawan akan diberikan pengurangan cukai di bawah Sub Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.  
  • Jenama dan logo syarikat akan dipaparkan di portal Tabung Pahlawan dan JHEV ATM dan akan dibuat promosi e-poster melalui akaun media sosial Tabung Pahlawan/JHEV ATM serta jaringan Kementerian Pertahanan.
  • Dapat menaikkan lagi imej dan jenama syarikat serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap jenama syarikat yang prihatin melalui penyerahan sumbangan kemanusiaan.        

PENUTUP

Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang yang menunjukkan keprihatinan diatas pengorbanan Pahlawan-pahlawan Negara. Usaha ini sebagai tanda keprihatinan Kerajaan dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa untuk menghulurkan bantuan sebagai tanda ingatan dan penghargaan mereka kepada para Pahlawan ini. Sehubungan itu semua lapisan masyarakat, pihak swasta dan korporat diseru untuk sama-sama menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan sebagai tanda pengiktirafan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Pahlawan-pahlawan Negara.

Maklumat berkaitan Kempen Tabung Pahlawan boleh didapati di Portal dan Media Sosial Rasmi;

➡ Portal : http://tabungpahlawan.jhev.gov.my

➡ Facebook : Tabung Pahlawan Veteran ATM – https://www.facebook.com/TPVATM/

➡ Twitter : Tabung Pahlawan Veteran ATM Official – https://twitter.com/tabung_atm

➡ Instagram : tabungpahlawanofficial – https://www.instagram.com/kempentabungpahlawanatm/