Ikon muzik samba rock Malaysia, Darkkey Nagaraja, bakal mencipta sejarah dengan konsert solo sulungnya bertajuk I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert yang dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos 2025 di Panggung Bangsawan Melaka. Persembahan bertenaga ini turut menampilkan dua bintang muda berpotensi besar, Santesh dan Zubir Khan, dalam satu malam penuh warna dan semangat.
Konsert yang dianjurkan oleh Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) ini bertujuan bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga sebagai usaha mengumpul dana bagi program kebajikan termasuk bantuan pendidikan, sokongan kepada anak yatim dan keluarga berpendapatan rendah.
Menurut Presiden MMPCC, T Manimaran, kolaborasi ini tercetus daripada kejayaan Darkkey di pentas antarabangsa menerusi lagu “AK The Tiger” untuk filem Good Bad Ugly, sekaligus mengangkat semula nama beliau sebagai pengkarya tempatan yang menembusi industri perfileman Kollywood.
“Darkkey adalah simbol kekuatan seni muzik Tamil tanah air sejak era 90an. Konsert ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangannya, malah memberi ruang kepada bakat muda seperti Santesh dan Zubir Khan untuk berdiri bersama legenda,” katanya.
Konsert berdurasi dua jam ini dianjurkan dengan kerjasama Patahati Universe, serta disokong oleh Panggung Bangsawan Melaka dan Tourism Melaka selaku rakan strategik. Tiket rasmi boleh didapati melalui iLasso Tickets, bermula 6 Jun ini. Harga bermula serendah RM69 (Puli Puli – berdiri), RM79 (Akamage – duduk), dan RM89 (Adiva Adiva – duduk). Setiap pembelian tiket duduk akan menerima lanyard eksklusif dan poster bertandatangan.
Setiausaha MMPCC, S Partiben, menyatakan sambutan awal amat memberangsangkan dan kehadiran peminat pelbagai kaum membuktikan muzik mampu menyatukan masyarakat sambil memberi impak positif kepada NGO seperti MMPCC.
Santesh, yang dikenali menerusi lagu Amalina, dan Zubir Khan, pencetus fenomena Yennode Macha, bakal memberi sentuhan generasi baharu kepada persembahan ini.
Datin Sukhirah Ibrahim, Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka, pula menyifatkan konsert ini sebagai sebahagian inisiatif memartabatkan seni persembahan dan menjadikan bangunan bersejarah bekas pawagam Cathay ini sebagai hab seni moden Melaka.
Sementara itu, Pengarah Projek Patahati Universe, Cassandra, menyatakan kepercayaan untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi seni persembahan live adalah satu permulaan besar. “Kami percaya nilai estetika serta harga tiket yang mesra pengunjung menjadikan Melaka alternatif segar kepada Kuala Lumpur,” ujarnya.
Sebagai kesimpulan, kata T Manimaran, konsert ini adalah pertemuan tiga generasi pengkarya muzik Tamil Darkkey, Santesh dan Zubir Khan dalam satu acara ikonik yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi makna kepada usaha kebajikan dan pembangunan komuniti seni.