Lebih 40 tahun laung azan di Masjid al-Haram Makkah

LAUNGAN azan mendayu-dayu milik suara emas tukang azan kelahiran Makkah di Arab Saudi membuatkan penulis terpegun seketika. Hati penulis begitu tersentuh apabila mendengar suara nyaring alunan kalam ALLAH yang kedengaran begitu syahdu hingga betul-betul menusuk kalbu.

Penulis percaya, bukan sahaja diri penulis, tetapi sesiapa yang mendengar alunan azan itu pasti akan merasakan sedemikian.

Ternyata ‘panggilannya’ untuk mengajak umat Islam menunaikan Rukun Islam ke-2 iaitu mendirikan solat fardu lima waktu benar-benar terkesan.

‘Nada’ tegasnya melaungkan iqamah pula seolah-oleh meminta setiap orang supaya segera meninggalkan perkara-perkara lain dan bersama-sama berjemaah.

Beliaulah Sheikh Ali Ahmed Mulla. Selain pernah menggalas tugas sebagai Ketua Muazin di Masjid Al-Haram Makkah, suaranya yang nyaring turut menerobos ke seluruh dunia menerusi rakaman di corong radio, kaset, cakera padat dan media sosial YouTube.

Suara ’emas’ milik lelaki berusia 74 tahun itu juga pernah bergema di Malaysia pada 21 Ogos 2015. Ketika itu, beliau mengalunkan azan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Itu bukanlah kali pertama vokal hebat itu berkumandang di Malaysia. Terdahulu, sudah beberapa kali kemerduan suara muazin itu melaungkan azan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor sekitar tahun 2011 dan 2012.

Sungguhpun dirinya semakin ditelan usia, tetapi suaranya masih mempunyai ‘magis’. Kudratnya juga masih kuat untuk terus memberitahu semua orang tentang masuknya waktu solat. Jika dihitung, Sheikh Ali sudah lebih empat dekat mengabdikan dirinya dengan melaungkan azan di pelbagai destinasi di ceruk dunia.

Pengorbanan suci itu menemui jalan kebaikan apabila menerima banyak pengiktirafan. Paling signifikan, lelaki warga emas itu mendapat jolokan ‘Bilal al-Haram’ dan ‘Bilal Abad Ini’ yang mengikuti langkah bilal pertama pada zaman Nabi Muhammad SAW iaitu Bilal bin Rabah kerana memiliki suara yang indah dan cukup merdu.

Azan, legasi keluarga


Penulis menelusuri peribadinya dengan penuh keinsafan. Membaca tentang diri Sheikh Ali membuatkan penulis merasakan betapa indahnya jika ramai umat Islam mempunyai kesungguhan sepertinya. Sebenarnya, pemilik nama sebenar Sheikh Ali Abdul Rahman Ahmed Mulla datang daripada bukan calang-calang keluarga. Kebanyakan ahli familinya pernah menjadi muazin di Masjidil Haram di Makkah.

Bapa saudaranya iaitu pak ciknya, Hafeez Khoja dan Abdul Rahman Mulla dan datuknya, Ahmad Mulla pernah menggalas tanggungjawab sebagai bilal di masjid berkenaan.

SHEIKH Ali melaungkan azan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2015.

SHEIKH Ali melaungkan azan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Ujar Sheikh Ali, kehidupannya sewaktu kecil banyak berkisar di Masjid al-Haram. Di situlah beliau mempelajari banyak perkara hingga menjebakkan dirinya untuk berjinak-jinak sebagai muazin.

“Saya menyedari dunia saya berada di al-Haram, yang mana ahli keluarga saya ialah muazin di Masjid al-Haram. Pak cik dan sepupu saya semuanya muazin di masjid berkenaan.

“Kami tinggal berhampiran al-Haram iaitu di pasar malam. Saya sentiasa berada di al-Haram ketika azan dilaungkan,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan alriyadh.com yang disiarkan pada tahun 2009.

Dari segi pendidikan, tokoh terkemuka itu mendapat pendidikan Islam sejak dari kecil lagi. Pun begitu, Sheikh Ali sebenarnya merupakan pemegang ijazah sarjana muda daripada Jabatan Pendidikan Artistik, Model Capital Institute di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 1971 dan memperoleh sarjana dalam bidang yang sama.

Selepas bergraduasi, Sheikh Ali bekerja sebagai guru di Abdullah bin Zubair Intermediate School. Pada tahun 1975, beliau secara rasminya dilantik sebagai muazin di Masjid al-Haram.

“Sebenarnya, saya mula melaungkan azan pada usia 14 tahun dan mula berlatih sebagai muazin di menara Bab Al-Zeyada di Masjid al-Haram. Ketika itu, belum ada lagi pembesar suara di masjid berkenaan.

“Kemudian, saya berpindah ke menara Bab Al-Mahkma sebelum dilantik menjadi muazin secara rasmi di masjid berkenaan,” katanya sambil menjelaskan perkhabaran berita tentang beliau bakal menjadi bilal di Masjidil al-Haram itu itu merupakan detik paling manis buatnya tatkala diberitahu oleh bapanya sendiri.

Begitupun, ada satu peristiwa yang akan dikenang oleh beliau sepanjang bertugas sebagai muazin di Masjidil Haram. Ya, beliau pernah menyaksikan satu insiden yang mana ketika itu solat jamaah terpaksa dihentikan di Masjidil Haram selama 23 hari pada tahun 1979.

Ini kerana, ketika itu, Masjid al-Haram dikepung oleh Juhaiman Al-Aoutaibi yang menduduki masjid tersebut dan mengakui dirinya sebagai Imam Mahdi di bawah Kaabah. Setelah berakhirnya kepungan tersebut, Sheikh Ali melaungkan azan pertama sewaktu solat Maghrib di hadapan Raja Khaled Abdulaziz.

“Ia adalah penghormatan terbesar bagi saya melaungkan azan di Masjid al-Haram iaitu masjid paling suci di dunia,” ujar beliau.

Perbezaan laungan azan

Sepanjang lebih 40 tahun bergelar bilal, Sheikh Ali menimba banyak pengalaman berharga. Ujar beliau, azan tidak dapat dipisahkan dengan Masjid al-Haram selama-lamanya kerana ia merupakan Rumah ALLAH SWT.

“Pada masa kini, waktu solat ditentukan oleh jam khas di dalam Masjid al-Haram dan bergantung kepada kalendar rasmi Umm Al-Quran. Itu merupakan cara paling maju dan tepat dalam menentukan waktu solat yang telah diterima pakai,” jelasnya.

BILAL muda, Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Malaysia memperdengarkan laungan azannya di hadapan Sheikh Ali ketika muazin terkemuka itu bertandang ke negara ini sekitar tahun 2013.

BILAL muda, Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Malaysia memperdengarkan laungan azannya di hadapan Sheikh Ali ketika muazin terkemuka itu bertandang ke negara ini sekitar tahun 2013.

Meskipun lafaz azan adalah sama, namun kata Sheikh Ali, cara laungan azan itu berbeza antara satu negara dengan negara yang lain.

“Ada perbezaan antara azan di al-Makki dan di al-Madani dari segi prestasi dan keluarnya huruf. Muazin dari al-Haram al-Makki (Tanah Suci Makkah) masing-masing mempunyai gaya persembahan yang unik dan berbeza daripada yang lain.

“Semuanya dicirikan oleh kekuatan suara dan kekasaran nada, manakala muazin di Masjid Nabawi dicirikan dengan kelembutan suara,” katanya.

Menyentuh tentang tanggungjawabnya sebagai bilal, akui beliau, tugas sebagai muazin pada ketika ini bukannya mudah.

“Sebelum ini, muazin dipilih berdasarkan kepada kelunakan (sonority) suara, namun kini, seorang muazin juga perlu menghafaz al-Quran, mempunyai tingkah laku yang baik dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka.

“Selain itu, muazin juga perlu memainkan peranan yang penting di luar dari negaranya,” kata beliau yang pernah dipanggil untuk melaungkan azan ketika perasmian masjid di beberapa buah negara antaranya Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Apapun, kata beliau, sebagai seorang muazin, mereka mesti mempunyai keperibadian yang unik. “Dalam erti kata lain, dia tidak boleh meniru orang lain sama sekali,” kata beliau yang gemar mengumpul setem.

Sheikh Ali turut berkongsi tip menjaga suara. Ujar beliau, jika ingin suara yang cantik, sedap dan kuat, jangan merokok dan elakkan daripada memakan makanan yang pedas serta berminyak.

“Saya perasan, ada segelintir ‘bilal’ yang merokok, ia tidak bagus,” nasihat beliau.

Kata Sheikh Ali dengan penuh ketakwaan, selagi kudratnya masih ada, jiwa raganya akan diberikan sepenuhnya dengan melaungkan azan mengajak orang menunaikan solat kepada-NYA. Ya, sesungguhnya hanya insan terpilih yang berhati kental mampu berbuat demikian demi agamanya.

Galakan anak muda laungkan azan

BAIK surau mahupun masjid, ahli jawatankuasa institusi berkenaan perlu mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan anak muda melaungkan azan sekali gus melatih mereka menjadi muazin.

PU FAIZ

PU FAIZ

Pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz berkata, antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah mengadakan pertandingan azan bagi menarik minat anak muda.

“Walaupun anak muda itu mungkin menyertainya kerana mahukan hadiah, namun lama-kelamaan apabila mereka dinasihatkan bahawa itu perkara ibadah, secara beransur-ansur mereka akan berubah,” katanya kepada Sinar Islam.

PU Faiz yang juga Ketua Tanfiziyah Pertubuhan Nadhlatul Ulama Malaysia turut menegur sikap segelintir masyarakat yang kadangkala tidak memberi ruang kepada anak muda untuk melaungkan azan.

“Ada pula sesetengah tempat bukan tidak mahu mengetengahkan bakat muda, tetapi golongan itu begitu sedikit yang datang ke masjid,” katanya.

Menyoroti historiografi azan, ujar beliau, ia sebenarnya hasil mimpi para sahabat iaitu Abdullah bin Zaid dan Saidina Umar bin al-Khattab yang bermimpi ada orang datang mengajar kalimah-kalimah azan. Lalu Rasullah SAW bersabda: “Bahawasanya mimpi itu benar”.

“Baginda SAW memerintahkan Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan kerana memiliki suara yang merdu, kuat dan nyaring,” jelasnya.

Selain itu, katanya, muazin yang melaungkan azan akan memperoleh bukan sahaja pahala zikrullah, tetapi juga pahala orang yang hadir solat jemaah kerana mendengar laungannya tadi.

“Azan juga ada konsep taawun iaitu tolong-menolong yang mana orang yang mendengar azan akan dapat pahala sunat apabila menjawab azan itu,” jelas beliau.

USTAZAH ASMAK

USTAZAH ASMAK

Sementara itu, pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin berkata, antara faktor bidang itu kurang popular dalam kalangan anak muda disebabkan oleh kurang keyakinan kepimpinan dari aspek ibadah.

“Mungkin anak muda itu boleh memimpin dalam bidang lain, tetapi kurang dari segi ibadah. Sedangkan semua orang boleh jadi muazin.

“Satu lagi faktor ialah anggapan segelintir orang bahawa muazin merupakan kerja yang biasa sahaja iaitu tidak meningkatkan status sosial mereka. Ini kerana penilaian kompetensi diukur dari aspek pekerjaan, bukan kemahiran seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya, bidang tersebut sebenarnya merupakan aspek yang signifikan kerana azan bersifat menyampaikan dan ia merupakan syiar Islam.

“Lagi satu, latihan muazin juga bukan sahaja untuk lelaki, tetapi juga wanita untuk diaplikasikan dalam majlis-majlis melibatkan wanita. Ia untuk memberikan galakan kepada mereka melaungkan iqamah. Dari segi kemahiran dan ujian, ia sama dengan muazin,” katanya.

Justeru, Ustazah Asmak menyarankan agar masjid di sesebuah kawasan supaya bukan sahaja berupaya mengadakan pertandingan muazin, tetapi juga memberikan latihan untuk membimbing menjadi muazin yang baik.

“Pada masa sama, beri galakan kepada kanak-kanak atau anak muda itu untuk melaungkan azan. Ia boleh dilakukan dengan memberikan giliran azan kepada mereka yang menang dalam pertandingan berkenaan,” katanya.

Tugas mulia

USTAZ WAN AKASHAH

USTAZ WAN AKASHAH

Mengulas tentang kemuliaan tugas seorang muazin, Sinar Islam menghubungi pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid baru-baru ini.

Agamawan itu berkata, muazin merupakan satu jawatan yang diangkat oleh Rasulullah SAW dan dipandang mulia oleh Islam.

“Antara kelebihan menjadi muazin ialah apabila mereka melaungkan azan, syaitan akan bertempiaran lari. Pada hari akhirat pula, muazin ialah orang yang lehernya panjang iaitu ia sebenarnya menunjukkan kemuliaannya.

“Bahkan, muazin juga ialah orang yang menjadi saksi di hadapan ALLAH tentang azan yang dilaungkannya. Selain itu, orang yang melaungkan azan akan diampunkan dosanya dan para muazin juga akan sentiasa mendapat doa daripada Rasulullah SAW,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak kita mengingat kembali hikmah azan. Ujar beliau, para ulama memberikan empat hikmah azan iaitu:

1. Menyerlahkan syiar Islam.

2. Menegakkan kalimah Tauhid iaitu ‘Tiada Tuhan melainkan ALLAH’.

3. Sebagai tanda masuknya waktu solat.

4. Seruan untuk mengajak orang melakukan solat berjemaah.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *