Category: ATTRACTION

  • Kilang Proton pertama di Pakistan

    Kilang Proton pertama di Pakistan

    SATU projek kilang pemasangan CKD bagi kereta-kereta Proton yang pertama di Pakistan secara rasminya akan dilaksanakan apabila Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, menandatangani plak marmar pada satu majlis yang diadakan di Islamabad, Pakistan baru-baru ini.

    Kilang yang akan dibina di tapak Greenfield di Karachi akan dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive, pengedar rasmi untuk kereta-kereta Proton di Pakistan dan dijangka memulakan operasi sebelum akhir tahun 2020. Pada tahun 2017, Proton melancarkan strategi tujuh bintang iaitu pelan hala tuju untuk mencapai matlamat jangka panjang kereta termasuklah menyasarkan jualan 400,000 unit menjelang 2027.

    Sasaran pertumbuhan utama pada masa hadapan bagi syarikat ialah jualan eksport dan penubuhan kilang pemasangan CKD di pasaran luar negara. Ia merupakan salah satu langkah yang diambil untuk mengembangkan angka tersebut.

    Bagi menubuhkan Proton di Pakistan, satu perjanjian bersama ALHAJ Automotive telah ditandatangani pada 29 Ogos 2018 yang mana kumpulan tersebut dilantik sebagai pengedar tunggal untuk kereta-kereta Proton di Pakistan. Pelan yang telah dirangka iaitu membina sebuah kilang pemasangan yang baharu antara lain untuk memanfaatkan pengurangan cukai bagi kenderaan CKD di negara ini.

    Pengerusinya, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata, Proton sangat berbesar hati dengan hubungan strategik bersama ALHAJ Automotive. Ia bergerak maju sejak syarikat menandatangani perjanjian Ogos lalu.

    “Bagi mengembangkan jualan kereta-kereta Proton di luar Malaysia adalah penting bagi kami untuk mencapai matlamat jangka panjang dan berharap pasaran automotif Pakistan menjadi salah satu daripada punca pertumbuhan kami untuk masa hadapan. “Sebagai pengedar dan pemasang kenderaan yang terkenal, ALHAJ Automotive mempunyai pengalaman dan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengurus dan meningkatkan jualan kereta-kereta Proton di Pakistan,” katanya.



    Sumber

  • Keberkatan mencari rezeki pada waktu pagi

    Keberkatan mencari rezeki pada waktu pagi

    ISLAM begitu menggalakkan umatnya mencari rezeki pada waktu pagi.

    Waktu pagi sebenarnya adalah saat yang penuh berkat untuk kita melakukan pelbagai perkara.

    Alangkah ruginya seandainya kita gunakan masa ini untuk menyambung tidur usai solat Subuh.

    Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.” (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

    Kenapa waktu pagi dikatakan sebagai waktu yang berkat dan membawa keuntungan?

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Shakhr bin Wada’ah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa agar umatnya diberikan berkah pada waktu pagi.

    Shakhr adalah seorang pedagang biasa yang mengirimkan barang dagangannya pada pagi hari sehingga beliau menjadi kaya dan banyak hartanya.

    Ini bermakna, Shakhr bin Wada’ah adalah orang yang selalu menyambut keberkahan ALLAH SWT pada waktu pagi.

    Hakikatnya, tidak semua daripada kita mudah untuk bangun pagi.

    Kadangkala, ada dalam kalangan kita terpaksa mengunci jam berkali-kali supaya dapat bangun tepat pada waktunya.

    Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan, tidur yang sangat tidak disukai oleh orang-orang soleh ialah tidur di antara solat Subuh dan terbit matahari.

    Kerana apa? Sebab pada detik itu sebenarnya terdapat satu keistimewaan sehinggakan jika dikatakan seseorang melakukan perjalanan sehari suntuk, dia tidak dapat menandingi kelebihan mencari rezeki pada waktu pagi.

    Bahkan, Rasulullah SAW sendiri, usai solat Subuh, baginda akan akan duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari.

    Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa solat fajar (solat Subuh) berjemaah di masjid kemudian, tetap duduk berzikir mengingati ALLAH hingga terbit matahari lalu, solat dua rakaat (solat duha), maka, seakan-akan ia mendapatkan pahala haji dan umrah dengan sempurna, sempurna dan sempurna.” (Riwayat at-Tirmizi)

    Alangkah ruginya jika kita mensia-siakan peluang yang ALLAH berikan pada waktu pagi untuk mencari rezeki.

    Marilah kita ubah aktiviti biasa kita kepada yang lebih baik.

    Mudah-mudahan apa yang ditawarkan oleh ALLAH SWT akan menjadi milik kita juga.

    (Sumber: Mohd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Perodua bawa 15 bakat muda murid ke Tokyo

    Perodua bawa 15 bakat muda murid ke Tokyo

    SERAMAI 15 bakat muda daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) Kementerian Pendidikan Malaysia-Perodua kini berada di Tokyo untuk Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara yang diadakan buat julung kali.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, program tersebut adalah anjuran rakan teknikal dan teknologi Perodua, Daihatsu Motor Company Jepun.

    Pertandingan ini akan menyaksikan atlet (murid) Malaysia bersaing dengan bakat-bakat muda dari Jepun dan Indonesia yang dicungkil daripada program badminton di negara masing-masing.

    “Penyertaan Perodua dalam Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara ini akan memperkukuhkan lagi komitmen jangka panjang kami kepada sukan yang begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia.”Bagi kami, program ini adalah salah satu daripada perancangan bagi memberi pendedahan awal kepada atlet murid untuk bertanding di peringkat antarabangsa.“Ia juga merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami ke arah pembangunan belia dan modal insan Malaysia,” katanya.

    Pada 24 Mac lalu, sejumlah 40 murid (15 orang dari Malaysia, 15 Jepun dan 10 Indonesia), berumur 9 hingga 12 tahun, bertanding di Stadium Nasional Ajinomoto di Tokyo, Jepun.

    “Ramai daripada bakat muda kami di sini tidak pernah menjejakkan kaki ke luar Malaysia sebelum ini. Mereka sangat teruja dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk melawat Jepun di samping dapat berkongsi pengalaman mengenai badminton dengan kenalan baharu dari Jepun dan Indonesia.

    “Bagi pihak Perodua, saya mengucapkan terima kasih kepada Daihatsu kerana menganjurkan pertandingan ini antara tiga negara yang menggemari badminton dan juga kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas kerjasama mereka dalam membangunkan generasi bakat badminton Malaysia yang akan datang,” tambah Zainal Abidin.



    Sumber

  • Batalkah puasa apabila berbohong?

    Batalkah puasa apabila berbohong?

    “SUDAHLAH sedang berpuasa, dia boleh pula berbohong pada orang lain. Batalkah puasanya itu?”

    Benar, persoalan itu nampak remeh namun, ia sedikit sebanyak ‘mencacatkan’ ibadah puasa kita dari segi pahala.

    Perbuatan berbohong sebenarnya termasuk dalam himpunan dosa-dosa besar.

    Firman ALLAH SWT: “Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.” (Surah al-Hajj, ayat 30)

    Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan perbuatan menyembah berhala.

    Oleh yang demikian, kedua-dua perbuatan itu dianggap sebagai sama iaitu perbuatan berdosa besar.

    Justeru, berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah beratnya.

    Dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran serta hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan masa ia dilakukan.

    Bagaimanapun, perbuatan bohong tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa.

    Namun, perbuatan itu tidak dinafikan boleh mengurangkan pahala puasa seseorang.

    Apapun, ia perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

    Jadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.

    Ingat, jangan sesekali berbohong. Kelak, buruk padahnya.

    (Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadhan Siri ke-113: Adakah Berbohong Membatalkan Puasa?, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber

  • Mercedes-Benz Malaysia peneraju SUV kelas premium

    Mercedes-Benz Malaysia peneraju SUV kelas premium

    MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) mengukuhkan kedudukannya dalam segmen peneraju SUV kelas premium di Malaysia apabila membawakan kepada pasaran tempatan dua buah SUV iaitu Mercedes-Benz GLC 300 Coupe AMG Line dan Mercedes-Benz GLE 450 4MATIC AMG Line.

    Kedua-dua SUV tersebut diperkenalkan bersempena acara hujung minggu Mercedes-Benz iaitu Festival Hungry For Adventure bertempat di Depot Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    GLE 450 AMG Line

    Dibangunkan dengan Modular High Architecture (MHA) baharu, SUV mewah ini didatangkan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam silinder, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 367 hp dari 5,500-6,100 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600-4,500 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik 9G-TRONIC sembilan-kelajuan yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j pada tempoh 5.7 saat serta kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    GLE450 AMG Line.

    GLE450 AMG Line.

    Meningkatkan lagi pengendaliannya, GLE 450 AMG turut didatangkan dengan mod transmisi Dynamic Select iaitu fasa pembangunan terkini bagi suspensi udara dengan sistem Airmatic bersama sistem Adaptive Damping PLUS (ADS+) yang dipertingkatkan. Dengan Road Surface Scan, GLE boleh mengenal pasti hentakan jalan bagi menawarkan keselesaan pengendalian yang lebih optimum.

    Sistem suspensi pintar ini turut didatangkan dengan fungsi mod pemanduan bebas sesuai diguna pakai jika anda ingin memandu GLE 450 AMG ini di laluan off-road. Tambahan pula GLE mampu menaik atau menurunkan badannya sendiri mengikut tahap suspensi jika kenderaan tersekat dalam laluan berpasir.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem bantuan pemandu dan ciri keselamatan lain termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Brake Assist (dengan fungsi turning-off), Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Distance Assist, Active Blind Sport Assist dan banyak lagi.

    Bagi model yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, ia hadir dengan versi lima dan tujuh tempat duduk. Ia ditawarkan dengan harga jangkaan bermula dari RM633,888.

    




Ruang enjin GLE450 AMG Line.

    Ruang enjin GLE450 AMG Line.

    GLC 300 Coupe AMG Line

    Membawa imej sporty ke aras lebih tinggi dalam kelasnya, varian ini didatangkan standard dengan pakej AMG Line yang merangkumi kit badan AMG, running board aluminium serta rim aloi bersaiz 21 inci. Bukan setakat itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan lampu utama LED Intelligent Light System dengan ciri Highbeam Assist Plus.

    GLC 300 Coupe AMG Line.

    GLC 300 Coupe AMG Line.

    Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit Artico, pencahayaan pada bahagian pintu, pedal sport AMG, stereng flat bottom AMG serta kemasan hitam. Turut disertakan adalah sistem infotainmen Comand Online dan sistem audio Burmester.

    GLC 300 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang mampu meledakkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm dari 1,300-4,000 rpm yang dipadankan bersama transmisi automatik 9G-Tronic 9-kelajuan dengan pacuan semua-roda 4Matic. Dengan transmisi 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic, ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum 236 km/j.

    




Ruang kabin GLC 300 Coupe AMG Line.

    Ruang kabin GLC 300 Coupe AMG Line.

    Turut ditampilkan ialah lampu utama LED Intelligent Light System dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, sentuhan aluminium, spoiler belakang dan roda aloi ringan pelbagai jejari 20 inci. Selain itu, ciri-ciri bantuan pemandu seperti Lane Tracking Package, Blind Spot Assist, Hands Free Access dan Active Parking Assist dengan Parktronic turut disertakan secara standard.

    GLC 300 Coupe AMG Line dijual pada harga anggaran RM399,888 tidak termasuk insurans.



    Sumber

  • Jauhi sikap suka bertangguh dalam melakukan pekerjaan

    Jauhi sikap suka bertangguh dalam melakukan pekerjaan

    SIKAP menangguh atau melambat-lambatkan suatu pekerjaan tidak digalakkan kerana ia bukanlah sikap yang baik.

    Lazimnya, kerja yang bertangguh atau sengaja dilambat-lambatkan akan menghasilkan output yang kurang sempurna.

    Malah, adakalanya langsung tidak menjadi dan terbengkalai begitu sahaja.

    Disebabkan itulah, dalam Islam, setiap kerja yang diamanahkan mestilah dibuat dengan teliti dan sempurna.

    Bahkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan: “Barang siapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka, tidak akan dipercepatkan hartanya.” (Riwayat Muslim)

    Sebenarnya, Islam mendidik umatnya supaya sentiasa bersemangat apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

    Jika suatu pekerjaan dilakukan secara sambil lewa, ia akan menyebabkan kerugian yang banyak, bukan?

    Jika rugi, bagaimana mungkin kita dapat menambah harta?

    Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya umatnya jangan menjadikan sikap suka bertangguh atau melambat-lambatkan pekerjaan sebagai satu kebiasaan.

    Bimbang ia akan menjadi tabiat dan akhirnya akan menjadikan kita hamba yang tidak cemerlang dalam kehidupan.

    Marilah kita berusaha untuk jadi orang yang bersemangat tinggi untuk berjaya.

    (Sumber: Muhd Nasrudddin Dasuki)



    Sumber

  • Tucson mewah dan agresif

    Tucson mewah dan agresif

    PERMINTAAN untuk kereta utiliti sukan atau SUV semakin meningkat dengan pesat. Ini menjadikannya satu segmen yang menarik bagi pengeluar-pengeluar kereta utama di seluruh dunia.

    Pasaran SUV telah berkembang lebih cepat berbanding segmen kereta lain dari segi ciri-ciri reka bentuk, prestasi, keselamatan dan juga teknologi.

    Bercakap soal teknologi, kini sudah menjadi trend syarikat pengeluar memperkenalkan varian turbo ke dalam barisan SUV mereka sebagai salah satu ciri utama. Tidak ketinggalan, salah satu daripadanya adalah Hyundai yang telah melancarkan Tucson baharu 1.6 Turbo pada pertengahan tahun 2018.

    Baru-baru ini pula, pihak Hyundai memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji jentera SUV Tucson varian paling tinggi iaitu 1.6 Turbo T-GDI. Dijual pada harga RM143,888, varian turbo petrol ini diposisikan sebagai yang tertinggi dalam barisan Tucson berbanding satu lagi varian 2.0 MPi (Elegance) yang berharga RM123,888.

    Suasana dalaman mewah

    Pertama kali memasuki ke dalam ruang kabin Tucson 1.6 Turbo ini, mata terus dijamu dengan suasana dalaman mewah. Tempat duduk kulit yang selesa dengan keseluruhan bertemakan warna hitam dan diserikan jahitan sulam perkataan Tucson di bahagian tempat duduk. Papan pemukaanya juga cantik dan elegan. Ia adalah padanan di antara gaya progresif dan klasik melalui jarum meter analog.

    Stereng balutan kulit pula ‘sedap’ digenggam dan boleh dilaraskan untuk keselesaan pemandu. Konsol tengah juga dilihat ‘bersih’ tanpa brek tangan yang digantikan suis brek elektronik dan suis mod pemanduan. Ia juga menerima ciri kelengkapan terkini seperti panel meter dengan skrin maklumat 4.2-inci berwarna, sistem pendingin hawa dwi zon automatik dan sistem audio dengan skrin ‘terapung’ 7-inci. Sistem ini menyokong sambungan USB, bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay.

    Beralih ke bahagian belakang, saiz ruang kaki selesa untuk penumpang dewasa manakala kerusi menyokong badan dengan baik. Menariknya, penumpang belakang turut menikmati keselesaan sama dengan penumpang hadapan menerusi corong penyaman udara pada bahagian konsol tengah.

    Kerusi penumpang juga boleh dilipat untuk mendapatkan ruang bagasi belakang yang lebih luas. Untuk sebuah SUV, saiz ini sederhana sahaja dan lebih sesuai untuk cita rasa tempatan jika dapat dibesarkan lagi.

    Luaran yang agresifCiri paling menonjol pada bahagian luar apabila model ini dipertingkatkan dengan kehadiran lampu utama projector LED – lampu siang dan lampu penjuru LED serta cat yang lebih gelap pada rim 17 incinya untuk penggayaan yang agak agresif. Padanan tayar Good Year bersaiz 225/60 R17 menjadikan cengkaman lebih kukuh dan ia membantu penulis mengawal jentera dengan baik.

    Lampu belakang pula adalah jenis LED rekaan baharu yang memberikan Tucson gaya lebih segar dan moden. Model varian ini juga ditawarkan dengan gril Chrome Garnish, pemegang pintu krom, lampu LED dengan lampu posisi serta ciri Low Beam Assist-Static Lights. Ciri keselamatan terdiri daripada enam beg udara iaitu ABS, EBD, BA, hill start assist, hill descent control dan cagak ISOFIX.

    Pengalaman pemanduan

    Tucson baharu Hyundai digerakkan oleh enjin 1.6-liter Gamma T-GDi yang menghamburkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Pada dasarnya, ia adalah enjin sama yang digunakan pada model Elantra Sport, namun sedan itu mempunyai pengecas turbo twin scroll manakala Tucson menggunakan pengecas turbo single scroll. Dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan, enjin tersebut membuktikan keupayaannya untuk memacu SUV ini dengan bekalan tork yang konsisten. Ia juga bertindak balas kepada input pendikit dengan baik.

    Apabila pedal minyak ditekan kuat, Tucson akan melonjak ke hadapan melakukan kerjanya walaupun penulis mencuba dengan empat penumpang dewasa. Pemanduan di atas jalan raya pula memberi pengalaman yang tenang.

    Tuscon dengan kuasa turbo ini juga tidak gopoh. Ia selesa dipandu, responsif pada pergerakan stereng dan suasana dalam kabin yang tenteram. Selain memberi pemanduan lancar, ia juga memberikan penjimatan minyak yang baik. Dengan jentera ini, penulis memperoleh 600km perjalanan untuk satu isian penuh 60 liter.

    Sudah tentu Tucson ini juga dapat meluncur pada kelajuan setinggi 160km/j sambil mengekalkan ketenangan dan keselesaannya. Benar-benar terasa seperti SUV lebih mewah dan penumpang belakang sukar untuk menyedari kelajuan tinggi yang anda pandu.

    Terdapat juga tiga mod pemanduan pada Tucson varian 1.6 Turbo ini iaitu Eco, Normal dan Sport. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Super ECT dan pacuan 2WD. Jadi, jika anda mahukan lebih prestasi, laraskan sahaja butang mod pemanduan berdekatan dengan tombol gear dan pilih mod Sport dan sangat sesuai digunakan untuk memotong. Mod Eco turut disediakan untuk pemanduan yang lebih menjimatkan.

    Apa yang penting, meskipun penulis menggunakan mod Eco, daya tujahan Tucson ini juga masih terasa dan tidak dirasakan terlalu berat apabila penulis menekan pedal minyak. Bagi penulis istilah ‘turbo lag’ atau ‘low power’ untuk jentera dan enjin ini tidak dirasai sama sekali.

    Keselesaan pemanduan

    Beralih ke aspek pengendalian, Tucson dilihat mampu menjalankan tugasnya dengan baik. Stereng tidak terasa terlalu ringan dan ‘kosong’, manakala badannya mempunyai keseimbangan yang baik walaupun ketika dipandu laju di selekoh. Ia tidak mempunyai dinamik seperti sebuah ‘hot hatch’, namun Tucson mampu membuatkan pemanduan terasa lebih seronok dan mudah.

    Lebih mengejutkan penulis, apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, sistem gantungan hadapan McPherson Strut dan suspensi bebas jenis Multilink pada gandar belakang memastikan tiada olengan atau hilang cengkaman, manakala suspensi sport dibekalkan tidak terasa terlalu keras apabila mengharungi laluan tidak rata di jalan raya biasa. Elemen ini sebenarnya membuatkan penumpang belakang sangat selesa untuk menempuh perjalanan jauh.

    Secara keseluruhannya, Tucson 1.6 Turbo adalah SUV boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki dengan kuasa dan aspek pemanduan yang memuaskan serta senarai ciri-ciri yang lengkap. Bagi penulis, kualiti pemanduan dan kestabilan kenderaan SUV ini juga baik, menjadikan ia lebih seperti sedan sambil mengekalkan kualiti yang dinamik sebuah SUV.

    Spesifikasi Hyundai Tucson 1.6T

    Enjin – Pengecas turbo, empat silinder

    Kapasiti – 1,591 cc

    Kuasa – 177 PS @ 5,500 rpm

    Tork: 265 Nm @ 1,500 – 4,500 rpm

    Transmisi – Dwi klac automatik 7 kelajuan

    0-100 km/j: –

    Kelajuan maksimum: –

    Harga: RM143,888



    Sumber

  • Hukum puasa bagi orang yang perlu mengambil ubat

    Hukum puasa bagi orang yang perlu mengambil ubat

    BAGI mereka yang sakit, Islam mengharuskan pesakit meninggalkan puasa jika tidak mampu dilakukannya.

    Namun, bagaimana pula untuk mereka yang terpaksa makan ubat sekurang-kurangnya tiga kali sehari seperti bekas pesakit buah pinggang?

    Perlukah mereka berpuasa dan menggantikan puasa kerana tidak mampu berpuasa?

    Bagi menjawab soalan itu, sekiranya seseorang pesakit menderita kesakitan, dia perlu mendapatkan nasihat doktor pakar yang beragama Islam sama ada dia boleh berpuasa atau sebaliknya.

    Bagi pesakit yang perlu makan ubat secara berterusan, mereka hendaklah berbincang dengan doktor untuk mengubah jadual makan ubat terutama mereka yang perlu memakan ubat tiga kali sehari.

    Dalam menentukan hukum boleh puasa ataupun tidak, seseorang pesakit itu hendaklah mengetahui tahap sakit yang dihadapinya.

    Berkaitan hal ini, Dr Wahbah al-Zuhaily memberikan pengertian ‘sakit’ yang dibolehkan berbuka ialah sakit yang mendatangkan kesukaran amat sangat.

    Berkemungkinan sekiranya pesakit itu meneruskan puasanya, maka, ia akan mengakibatkan suatu yang buruk terjadi, dibimbingi akan bertambah sakit atau lambat sembuh.

    Oleh itu, nasihat doktor amat penting dalam menentukan tahap kemampuan seseorang pesakit itu boleh berpuasa atau tidak berpuasa.

    Bagi menentukan hukum berkaitan menggantikan puasa atau membayar fidyah pula, jika seseorang pesakit itu disahkan tiada harapan untuk sembuh, maka, dia wajib membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

    Jika sakitnya itu tidak memudaratkan dan ada kemampuan untuk berpuasa pada hari yang lain, maka, dia perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan dan membayar fidyah jika tidak menggantikannya sebelum datang Ramadan pada tahun yang akan datang.

    (Sumber: Laman Web Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)



    Sumber

  • Optima EX lebih hebat, berprestasi, berkarisma

    Optima EX lebih hebat, berprestasi, berkarisma

    NAZA Kia Malaysia baru-baru ini memperkenalkan varian sedan keluarga Optima EX yang terbaharu secara rasmi.

    Optima EX dibina dengan reka bentuk, prestasi, teknologi inovatif dan ciri khas Optima yang lebih berkarisma bagi melengkapi rangkaian Optima GT sedia ada.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, Optima EX baharu hadir dengan ciri-ciri dinaik taraf dan menjadikannya tambahan terbaik kepada rangkaian Optima dengan gaya lebih berani.

    “Reka bentuk menarik dengan ciri-ciri dinaik taraf sedan ini menawarkan nilai wang lebih tinggi dari segi harga,” katanya. Dikuasakan oleh enjin CVVL Nu 2.0L, Optima EX ini mampu memberikan kuasa sehingga 163 PS dan tork 196 Nm. Turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional.

    “Reka bentuk kenderaan ini mempunyai kemudahan dalam bentuk memori kuasa bagi kerusi pemandu, brek letak kereta elektrik, kunci pintar, butang permulaan push dan paparan skrin warna 7 inci dengan keserasian audio Apple CarPlay serta Android Auto. “Ia turut miliki monitor pengawasan sistem panorama menggunakan empat kamera yang terletak di depan, belakang, kiri dan kanan kereta. “Sistem ini menyediakan pemandu pandangan 360 darjah yang menjadikan aktiviti memarkir ebih mudah,” katanya.

    Optima EX baharu hadir dalam warna Aurora Black Pearl, Snow White Pearl dan Platinum Graphite. Ia dijual pada harga RM139,888 di atas jalan tanpa insurans.



    Sumber

  • Cara terhormat lupus al-Quran

    Cara terhormat lupus al-Quran

    KETIKA sedang membaca al-Quran, Safiah Mohamad, diganggu anaknya berusia dua tahun yang bermain berhampiran tempat beliau mengaji.

    Si kecil itu, Humairah Ayub, tanpa sengaja telah menyebabkan helaian muka surat al-Quran yang dibaca wanita itu terkoyak.

    Safiah, 30, tidak tahu hendak buat apa dengan helaian yang terkoyak itu. Bukan sahaja terkoyak dua, malah cetakannya sudah tidak berapa jelas untuk dibaca.

    Hendak dibuang, Safiah rasa serba salah. Ia adalah kitab suci umat Islam. Kalam ALLAH pula. Bolehkah dibuang begitu sehaja?

    Fikirannya menerawang seketika. Mana mungkin beliau boleh berbuat demikian sedangkan mahu memegang al-Quran pun perlu ada wuduk.

    Jika tidak dilupuskan, ia mungkin boleh jadi bahan ‘mainan’ anaknya yang masih tidak mengerti apa-apa. Apa yang harus dilakukannya?

    Dalam hal ini, penulis percaya, bukan sahaja Safiah tetapi ramai lagi yang pernah menghadapi situasi sama, bukan? Mungkin juga ada di antara anda yang masih lagi menyimpan al-Quran lama gara-gara tidak tahu buat apa-apa.

    Bagaimana cara melupuskan al-Quran lama atau helaian al-Quran yang terkoyak menurut perspektif Islam?

    Tiga kaedah

    MOHAMAD SHUKRI

    MOHAMAD SHUKRI

    Bagi menjelaskan perkara tersebut, Sinar Islam mendapatkan pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

    Jelas beliau, ada beberapa cara pelupusan yang boleh dilakukan mengikut syariat Islam. Mohamad Shukri berkata, pada zaman lampau, situasinya berbeza.

    “Dakwat al-Quran yang digunakan tidak kekal. Jadi, apabila direndam di dalam air, tulisan ayat al-Quran itu boleh tanggal,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Teknik kedua adalah melalui cara pembakaran, ujar beliau.

    “Namun, pembakaran yang menjamin kehormatan al-Quran agar ia tidak dicemari. Antaranya ialah tempat pembakaran itu tertutup dan abunya tidak diterbangkan oleh angin.

    “Kemudian, cara sesetengah pihak membentuk abu al-Quran menjadi kiub-kiub kecil dan dibawa ke laut untuk ditenggelamkan juga boleh dilaksanakannya,” katanya.

    Agamawan itu menambah, pendekatan lain ialah dengan menanam abu di tempat yang tinggi agar bebas daripada dipijak atau laluan manusia.

    “Ini agak sukar kerana mungkin perlu naik ke puncak bukit dan sebagainya,” katanya.

    Namun, kata Mohamad Shukri, kaedah yang banyak diamalkan masyarakat pada hari ini adalah membakar helaian kalam ALLAH tersebut.

    “Sebelum dibakar, helaian al-Quran dipotong halus agar dapat dibakar hangus hingga menjadi abu. Abu itu kemudiannya ditenggelamkan di dasar laut. Bila abu masuk ke dalam air, ia akan larut. Maka, tiadalah (isu) orang hendak terlangkah dan sebagainya,” ujarnya.

    Apabila sudah menjadi abu, bagaimana dengan kehormatan al-Quran itu?

    Menjawab soalan ini, Mohamad Shukri berkata: “Kalau al-Quran dalam bentuk biasa, hendak menyentuhnya, kita kena berwuduk. Namun, kalau sudah dibakar dan ayat-ayat al-Quran itu sudah hilang, maka, tidak lagi perlu disentuh abu itu dalam keadaan kita berwuduk.

    “Bagaimanapun, abu itu masih ada penghormatannya sebagai al-Quran. Apa-apa tindakan yang hendak kita ambil adalah terus mengekalkan penghormatan al-Quran itu walaupun, ia sudah menjadi abu. Hanya sifat sahaja yang berubah tetapi tidak pada penghormatannya. Ia masih lagi perlu dipelihara,” jelasnya.

    Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 79)

    Ujar Mohamad Shukri, ayat itu jelas menunjukkan al-Quran itu perlu dihormati walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

    Kalamullah

    ​​

    USTAZ HADI TALHAH

    USTAZ HADI TALHAH

    Sementara itu, pendakwah, Ustaz Hadi Talhah turut memberikan pandangannya tentang pelupusan al-Quran yang wajib berpandukan syarak. Ujar beliau, al-Quran bukan sahaja kalamullah tetapi juga perkataan suci daripada ALLAH SWT yang sudah tentu mempunyai nilai tinggi.

    “Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Maka, sebab itu kalau ada mushaf al-Quran yang sudah rosak atau koyak atau reput kertasnya, ia perlu dilupuskan dengan cara yang dianjurkan syarak. Ia agar kalam ALLAH itu tidak dibiar begitu sahaja atau dilangkah atau diletak di tempat yang tidak sepatutnya.

    “Sebab itulah al-Quran dilupuskan dengan cara antaranya dibakar dan abunya dibuang ke laut. Ia lebih mulia, tidak seperti kitab-kitab atau buku-buku yang lain,” katanya kepada Sinar Islam.

    Sebenarnya, tiada masalah jika seseorang ingin menyimpan al-Quran lama atau helaian yang terkoyak di tempat khas yang terpelihara.

    “Cuma lebih elok jika ia dibakar dan dilupuskan dengan cara sepatutnya kerana ia dibimbangi mungkin dilangkah atau diletakkan di tempat yang bercampur-campur dengan barang lain yang menyebabkan proses pemeliharaan al-Quran sukar dicapai,” jelas beliau.

    Hari kiamat

    Menurutnya, betapa pentingnya al-Quran untuk dipelihara umat Islam kerana kalam ALLAH itu akan diangkat sebelum berlakunya hari kiamat nanti.

    Jelas beliau, maksud diangkat adalah ayat-ayat al-Quran akan dihilangkan daripada mushaf itu sendiri. Mungkin sekarang masih ada tulisan ayat-ayat al-Quran pada mushaf berkenaan, namun, sebelum berlakunya hari kiamat nanti, tulisan itu akan hilang. Al-Quran akan menjadi kosong! Semuanya atas kuasa-Nya.

    “Itu merupakan antara tanda-tanda kiamat. Sebab apa al-Quran diangkat? Sebab Kalamullah ini tak binasa, tidak seperti makhluk-makhluk lain. Inilah kesucian al-Quran.

    “Jadi, ALLAH SWT hilangkan al-Quran sebelum berlakunya kiamat supaya dapat dipelihara al-Quran itu. Ia bukan satu benda yang binasa di sisi ALLAH. Sebab itu ia dijaga sebelum berlakunya kiamat,” ujar beliau.

    Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya, Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

    Ayat itu kata Ustaz Hadi, memberi jaminan tentang kesucian dan kemurnian al-Quran selama-lamanya.

    Jelasnya, ini bermakna, ALLAH SWT yang menjaga dan memelihara sifat al-Quran menyebabkan ia tidak akan hilang sampai bila-bila.

    “Ia tidak akan hilang seperti mana kitab Taurat, Injil dan Zabur, sebaliknya, ALLAH akan pelihara al-Quran.

    “Satu lagi, al-Quran tidak boleh diubahsuai. Ia tidak seperti kitab Taurat, Injil dan lain-lain di mana orang Yahudi dan Nasara mengubahsuai kitab berkenaan sehinggakan orang tidak tahu mana satu yang asli. Namun, al-Quran memang tidak boleh diubahsuai kerana yang menjaganya bukan manusia tetapi ALLAH SWT,” jelas beliau.

    Ustaz Hadi menambah, pada zaman sahabat Rasulullah SAW, tiada pelupusan al-Quran berlaku sebaliknya, ketika itulah al-Quran dikumpulkan dan kemudian mukjizat ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW itu dibukukan.

    “Namun, pada zaman kita ini, cetakan al-Quran terlalu meluas dan banyak serta kadangkala ada kesilapan atau rosak. Melihat perkara ini, ilmuan-ilmuan Islam berijtihad tentang bagaimana hendak menjaga kehormatan al-Quran.

    “Maka, ulama kita berpandangan agar dibakar al-Quran lama atau helaian yang rosak dan kemudian, abunya dibuang di laut. Inilah cara yang sebaiknya supaya ia tidaklah diletak di tempat-tempat tidak sepatutnya,” katanya.

    Kepada satu soalan, Ustaz Hadi menjelaskan: “Jika ada buku-buku yang mengandungi ayat al-Quran, cara pelupusannya adalah sama seperti al-Quran.

    “Sebenarnya, buku-buku agama ini adalah mulia, sama seperti al-Quran yang memang sangat mulia 100 peratus. Buku-buku ini tidak boleh kita hina sebab ada sebahagian kandungan dalam buku ini mengandungi ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

    “Perkara ini mesti dijaga dan jangan dilangkah seperti mana kalam ALLAH. Sama juga seperti buku Surah Yasin. Sekiranya ia sudah buruk, reput dan sebagainya, bakarlah dan kemudian abunya dibuang di laut atau sungai,” jelas beliau.



    Sumber