‘Bos kita paling besar adalah ALLAH SWT’

‘Bos kita paling besar adalah ALLAH SWT’

IPOH – Meletakkan ALLAH SWT sebagai bos paling besar akan menjadikan seseorang itu mampu melaksanakan tugas dengan berprinsip dan berintegriti.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, setiap individu mungkin boleh berperwatakan dan menampilkan diri seperti orang hebat tetapi hakikatnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang ada di dalam diri seseorang.

Menurutnya, ALLAH SWT memberi bukti menerusi ayat 14 Surah al-Mulk bahawa Dia yang maha halus urusan pentadbiran dan maha mendalam pengetahuan-Nya.

“Sebab itu, kita sebagai yang menjawat di dalam agensi agama ini, bos kita yang paling besar adalah ALLAH SWT, bukan tuan pengarah, bukan Yang Amat Arif bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukan ketua pendakwa tetapi ALLAH SWT.

“Ini sangat penting supaya kerja kita berprinsip, khidmat kita nombor satu kepada ALLAH SWT. Kita berlakon, kita bermuka-muka, kita bodek sana sini, ALLAH SWT tahu sebab yang menciptakan kita adalah ALLAH SWT,” katanya ketika mentadabbur 30 ayat Surah al-Mulk pada Program #WorldQuranHour Peringkat Agensi Agama Islam di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama pada program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansur; Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Perak, Mohd Asri Ghazali dan Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar.

Zamri berkata, ALLAH SWT mendatangkan peringatan kepada manusia dalam pelbagai bentuk supaya boleh diambil iktibar di dunia sebelum terlambat dan menyesal di akhirat kelak.

Menurutnya, keadilan sebenar adalah selepas mati kerana tidak ada keadilan yang benar-bena mutlak ketika di dunia.

“Kadang-kadang kita rajin, orang lain naik pangkat. Kadang-kadang orang lain buat salah kita yang kena kerana kita tidak mampu memberi keadilan sebenar tetapi selepas mati itulah keadilan sebenar.

“Apabila ALLAH SWT datangkan kepada kita peringatan untuk kita mengambil iktibar, ambillah pengajaran itu sebelum terlambat,” katanya.

Sementara itu, seramai 52 peserta terlibat dalam penganjuran julung kali melibatkan agensi agama Islam Perak sempena World #QuranHour.

Majlis dimulai dengan bacaan alunan Asmaul Husna diikuti bacaan surah al-Fatihah oleh Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak.

Bacaan Surah al-Mulk kemudian diperdengarkan secara bergilir-gilir oleh setiap wakil jabatan yang terlibat dengan diselangi bacaan terjemahan.

Tadabbur keseluruhan 30 ayat Surah al-Mulk kemudiannya disempurnakan Zamri.

Sumber