Anak muda perlu maksimumkan ruang dalami al-Quran

Anak muda perlu maksimumkan ruang dalami al-Quran

KOTA BHARU – Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub mahu anak muda menggunakan ruang semaksimum yang mungkin untuk mendalami al-Quran dalam usia muda.

Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, cara pembelajaran al-Quran melibatkan masyarakat dahulu dan masa kini amat berbeza dan kini ia lebih berfokus, bersistematik untuk membantu masyarakat menguasai bacaan dengan teratur.

“Cara kita faham dan belajar al-Quran dulu tidak sama dengan anak-anak sekarang. Roh itu tidak masuk dalam jiwa, maka pelbagai perkara berlaku kerana ia tidak sebati dalam diri kita.

“Anak-anak muda sekarang beruntung sebab ada pelbagai inisiatif yang boleh kita belajar, tambahan melibatkan ustaz-ustaz muda. Mereka boleh membantu kita dengan cara yang berbeza sehingga al-Quran itu masuk dalam jiwa dan hati kita.

“Inilah sebabnya kenapa kita buat gerakan membaca al-Quran ini supaya sistem operasi yang ada kini digunakan sebaik mungkin, bukan seperti zaman saya dulu-dulu,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada program Student Quran Hour 2021 secara dalam talian di sini pada Sabtu.

Turut serta, Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Adnan Hashim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi.

Menurut Hussamuddin, usaha berterusan perlu dilakukan semua pihak untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan termasuklah memahami dengan jelas apa yang terkandung dalam setiap ayat yang dibaca.

Malah katanya, untuk berjaya, jadikanlah al-Quran sebagai salah satu panduan supaya seluruh masyarakat akan sentiasa bertanggungjawab dalam setiap urusan dilakukan dengan nilai-nilai yang dinyatakan dalam al-Quran.

Program tersebut turut diisi dengan bacaan ayat suci al-Quran daripada Surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10, tadabbur dan tazakkur oleh Dai Muda Hifdzi Zaim Zamri dan perkongsian ilmu bertajuk Kelebihan al-Quran.


Sumber