4 FILEM TERBAIK SEPANJANG SEPTEMBER INI DI TV3!

4 FILEM TERBAIK SEPANJANG SEPTEMBER INI DI TV3!

Petaling Jaya, 26 Ogos 2021 – TV3 akan sentiasa menemani hujung minggu anda dengan 4 filem box-office terbaik dan berkualiti pada setiap Ahad, pukul 9:00 malam hingga 11:30 malam sepanjang bulan September ini menerusi Magnificent 8. Pastinya menghiburkan kerana filem-filem yang bakal ditayangkan ini dilakonkan oleh pelakon terkenal antarabangsa dan diminati ramai.

Rampant  (5 September 2021)

Rampant berkisar pergolakan antara Dinasti Joseon dan Dinasti Qing. Lee Chung (Hyun-Bin) merupakan seorang putera kerajaan Joseon dan telah dibebaskan dari tahanan kerajaan Qing setelah 10 tahun dalam tahanan. Beliau handal bermain dengan pedang tetapi merupakan seorang kaki perempuan dan suka berjudi. Raja Joseon pula terlalu mengharapkan menteri-menterinya untuk membuat keputusan kerana baginda semakin uzur. Kim Ja-Joon (Jang Dong-Gun)  yang merupakan menteri perang mengambil peluang ini untuk mencapai cita-citanya merampas kuasa dan mengubah hala tuju Joseon. Kim Ja-Joon telah membeli senjata api dari pedagang Belanda tetapi salah seorang daripada mereka telah dijangkiti penyakit pelik yang mengubah mereka menjadi zombie. Kini rakyat hanya mengharapkan putera Lee Chung untuk menyelamatkan mereka termasuk mematahkan niat jahat Kim Ja-Joon. 

Super 30 (12 September 2021)

Berkisarkan kisah benar, Super 30 menceritakan tentang pengorbanan seorang guru yang sanggup berkorban apa sahaja demi mendidik anak-anak muridnya. Anand Kumar (Hrithik Roshan) seorang pakar ahli matematik sanggup meninggalkan pekerjaannya di pusat akademi swasta Excellent untuk mendidik golongan yang keciciran pelajaran kerana kemiskinan. Anand kemudiannya membuka pusat akademi sendiri. Niatnya adalah untuk mengajar secara percuma dan melayakkan pelajarnya memasuki Institusi terkenal di India. Namun, sejak adanya pusat akademi sendiri yang diberi nama Super 30, Anand sering berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk ancaman bunuh! Anand bertuah kerana Pranav Kumar iaitu saudaranya sentiasa menyokong niat murni Anand. Saksikan kesudahan niat murni Anand dalam memberikan pendidikan terbaik buat pelajar-pelajarnya.

Train To Busan (19 September 2021)

Filem seram zombie ini mengisahkan tentang Seok-Woo (Gong Yoo), seorang pengurus dana yang telah bercerai. Dia terlalu obses dengan pekerjaannya sehingga jarang meluangkan masa untuk anaknya Soo-an (Kim Su-an). Sempena harijadi Su-An, dia telah memujuk Seok-Woo untuk membawanya ke Busan untuk melawat ibunya. Seok-Woo mengambil cuti untuk melayan anaknya. Mereka menaiki kereta api KTX di Seoul untuk berlepas ke Busan. Ketika menaiki menaiki kereta api itu,  ada seorang wanita yang cedera di kaki turut berada di dalam kereta api yang sama. Tanpa disangka, wanita itu telah menjadi zombie dan menyerang seorang pekerja kereta api. Keadaan menjadi huru-hara apabila pekerja tersebut turut menjadi zombie! Jangkitan itu merebak dengan pantas di dalam kereta api tersebut. Seok-woo, Soo-an dan penumpang-penumpang lain perlu menyelamatkan nyawa mereka di dalam kereta api yang bergerak itu. Adakah mereka akan selamat daripada zombie yang kian mengganas di dalam kereta api itu?

The Unity of Heroes (26 September 2021)

Vincent Zhao yang lebih dikenali sebagai Wong Fei Hung dan terkenal dengan watak seorang pahlawan China yang paling hebat akan menggegarkan hari anda dengan lakonannya menerusi The Unity of Heroes. Kisah bermula apabila Master Wong Fei Hung menerima tetamu aneh di dalam akademinya iaitu Lu Xiaoyue (Huanhuan Wei). Sejak ketibaan tetamu aneh itu, Fei Hung dan pembantunya Liang Kuan (Li Lubing) mendapati bahawa kemasukan candu barat mula menjadi wabak di negeri itu. Lu Xiaoyue kononnya datang untuk membantu merawat penagih candu tetapi secara diam telah melakukan ujian yang tidak masuk akal ke atas pesakit di klinik mewahnya dan menjadikan mereka lebih kuat. Salah seorang dari mereka berjaya melarikan diri dan telah merempuh sekolah Master Wong Fei-Hung. Keadaan itu membuatkan Fei Hung melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar. Keadaan bertambah serabut apabila Thirteenth Aunt (Wei Na) yang baru pulang dari luar negara telah terbawa-bawa cara hidup kebaratan dan merancang untuk bekerjasama dengan klinik mewah tersebut. 

Jangan lupa janji temu anda bersama kami setiap Ahad pada pukul 9:00 malam sepanjang September ini! Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.