Zakat Melaka anjur program berkayuh santuni asnaf

Zakat Melaka anjur program berkayuh santuni asnaf

Kemiskinan hanya dapat dirasai dengan kesediaan golongan kaya memberikan hak kepada golongan miskin seperti mana yang diamanahkan oleh ALLAH SWT. ALLAH SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Hadid ayat 7, yang bermaksud:

“Berimanlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian daripada harta mu yang ALLAH telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya memperoleh pahala yang besar.”

Pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menyantuni golongan memerlukan dalam konteks tuntutan amal dan kebajikan. Salah satunya melakukan aktiviti riadah iaitu kayuhan.

Zakat Melaka mengambil inisiatif berbeza dengan mengadakan program “Kayuhan Santuni Asnaf Sempena Karnival Hari Falak Negeri Melaka 2019″ pada 8 September lalu di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka dengan penglibatan 108 orang menjayakannya bagi tahun ini.

Kayuhan ini disertai oleh pelbagai agensi antaranya, Zakat Melaka, Jabatan Mufti Negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Zakat Kedah, Universiti Teknologi Mara (UITM), Bank Simpanan Nasional (BSN), Affin Islamic Bank Berhad, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Panther Cycling Club (PCCM), Tambak Paya Cycling Club (TPCC) dan Pertam Jaya Cycling Club (PJCC).

Menerusi program kayuhan ini, mereka menziarahi rumah asnaf di tiga lokasi perhentian iaitu Kampung Air Hitam Pantai, Kampung Baru KSB, dan Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara dengan mengayuh basikal sejauh lebih 25km dari Kompleks Falak Al-Khawarizmi pada awal pagi dan berakhir pada jam 11 pagi.

Penyerahan bantuan zakat di Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara pada 8 September.

Penyerahan bantuan zakat di Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara pada 8 September.

Hasrat untuk mengeratkan hubungan tali persaudaraan antara golongan berkemampuan dengan golongan asnaf sambil menghulurkan bantuan merupakan agenda utama Zakat Melaka menganjurkan program berkenaan.


Program kayuhan ini juga menerima impak positif daripada masyarakat setempat sekali gus memberi pendedahan dan kesedaran kepada mereka bahawa asnaf perlu disantuni dan diambil perhatian oleh semua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata, program kayuhan itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh Zakat Melaka dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Melaka sempena hari falak.

Menurutnya, ia bagi mewujudkan warga kerja dan masyarakat setempat betapa pentingnya menjaga kesihatan dan kecergasan dengan aktiviti luar yang dilakukannya sambil menghulurkan bantuan.

Katanya, sumbangan yang dibawa disampaikan oleh Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) diikuti Zakat Kedah, Affin Islamic Bank Berhad dan Bank Simpanan Nasional (BSN) berupa wang tunai, hamper, beras, basikal dan barang-barang keperluan makanan untuk diagihkan kepada penerima yang terlibat.

Penyerahan bantuan zakat di Kampung Baru KSB pada minggu lalu.

Penyerahan bantuan zakat di Kampung Baru KSB pada minggu lalu.

Program itu turut mendapat tajaan daripada Melaka Taming Sari Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, MPAG, Japerun Tanjung Bidara, JAKEL, Kazarah Resources Sdn. Bhd, Menuju Puncak Supply & Services, PNMB, Melaka Kini, Sigma Niaga Sdn. Bhd, SHB Bicycles Sdn. Bhd, Seri Tasik Souvenirs & Uniforms, ZR Corner, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan McD Cheng.

“Golongan asnaf ini dipilih dari sekitar Dun Tanjung Bidara yang didaftar oleh pihak Agihan Zakat MAIM. Asnaf-asnaf ini ada menerima zakat melalui bantuan makanan bulanan, bantuan saraan anak-anak sekolah, bantuan saraan anak IPT, bantuan Ramadan dan hari raya, elaun pekerja sukarelawan MAIM serta pelbagai lagi skim bantuan,” katanya.

Pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kayuhan santuni asnaf ini.

“Mudah-mudahan penganjuran ini akan mendapat manfaat kepada semua pihak sama ada penyumbang, penerima dan peserta yang terlibat. Semoga program ini dapat diteruskan lagi, dengan harapan agar asnaf di Negeri Melaka dapat disantuni dan terbela,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat yang ingin anda perolehi mengenai zakat, layari www.izakat.com atau hubungi Zakat Melaka di talian 1-300-88-0233 serta like page facebook Zakat Melaka.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *