YWUI kumpul sahabah al-Quran digital MY#QuranTime

YWUI kumpul sahabah al-Quran digital MY#QuranTime

SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) mengumpulkan sahabah al-Quran digital MY#QuranTime untuk menyebarkan maklumat tentang My#QuranTime yang sedang berlangsung di TV Alhijrah menerusi platform media sosial dengan lebih meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif YWUI, Marhaini Yusoff berkata, jumlah pengikut platform media sosial rasmi rancangan itu yang berjumlah lebih 38,000 orang dimanfaatkan dengan buat pertama kalinya sebilangan kecil daripada mereka dihimpunkan.

“Hari ini (semalam) kita kumpulkan kira-kira 20 orang sahabah al-Quran digital dengan tumpuan diberikan kepada mereka yang aktif menerusi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

“Kita nampak pentingnya peranan sahabah al-Quran yang pandai platform digital untuk menyebarkan maklumat supaya ia tular dan mendorong lebih ramai orang untuk mengikuti rancangan MY#QuranTime yang disiarkan secara langsung setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Program Jemputan Sahabah Al-Quran Digital MY#QuranTime di Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Hadir sama, Pengasas YWUI merangkap Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang turut menyampaikan penerangan mengenai visi dan misi YWUI dan latar belakang MY#QuranTime.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, dengan inisiatif mengumpul dan memberi penerangan tentang program MY#QuranTime kepada sahabah al-Quran digital itu, pihaknya berharap gerak kerja mereka akan lebih tersusun.

“Ini adalah program di bawah MY#QuranTime yang pertama kali kita buat secara berkumpulan selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Jadi kita nak pastikan maklumat yang disebarkan adalah maklumat yang rasmi berdasarkan rancangan ini setiap hari yang merangkumi sinopsis ayat al-Quran yang dibaca, perkataan pilihan, tajwid dan resolusi,” katanya.

Hussamuddin

Hussamuddin

Selain itu katanya, pihaknya ingin berkongsi rentetan perjalanan dan bagaimana wujudnya rancangan MY#QuranTime yang bertitik tolak daripada program penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh pihaknya sebelum ditadabbur oleh Ustaz Fazrul Ismail.

Marhaini berkata, R&D yang dilakukan mendapat kerjasama lima ilmuan al-Quran dan sunnah daripada tiga universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

“Semasa program MY#QuranTime bersiaran langsung, kita ada buat kawalan kualiti iaitu kalau ada kesilapan ustaz (ilmuan) akan segera perbaiki sebelum siaran ulangan atau kita terus sebut kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diperbetul,” katanya.

Rancangan MY#QuranTime bersiaran setiap jam 12 tengah hari hingga 1 petang dan diulang tayang sebanyak tiga kali sehari.

Platform rasmi program itu adalah menerusi Facebook Sahabat AlQuran MY #QuranTime, MY #QuranTime, Intstagram @myqurantimeofficial dan Youtube MY QuranTime Official.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, pihaknya percaya pengaruh yang ada pada sahabah al-Quran digital akan dapat membantu menyebarkan maklumat mengenai program itu ke arah misi menQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah.

“Gerakan ini akan menyelamatkan ummah. Ia sebuah gerakan Islam dan kita cipta sinergi yang disejajarkan dengan dengan visi YWUI supaya orang Islam faham al-Quran.

“Dalam misi menQurankan bangsa itu, kita mahu ibu bapa mulakan tunjuk minat dahulu agar ia boleh menjadi contoh kepada anak-anak mereka,” katanya.

Marhaini memberi penerangan mengenai program MY#QuranTime yang dilaksanakan kepada sahabah al-Quran digital.

Marhaini memberi penerangan mengenai program MY#QuranTime yang dilaksanakan kepada sahabah al-Quran digital.



Sumber