World #QuranHour di Masjid Albukhary meriah

World #QuranHour di Masjid Albukhary meriah

ALOR SETAR – Lokasi utama penganjuran World #QuranHour 2022 di Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini meriah dengan kehadiran kira- kira 400 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.

Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, World #QuranHour di negeri ini diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, program terbabit turut melibatkan kerjasama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan beberapa buah sekolah.

“Ini adalah tahun pertama kita dapat berkumpul semula dalam majlis sebegini setelah dua tahun dianjurkan secara dalam talian akibat penularan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah sambutan sangat meriah, mungkin ramai yang merindukan suasana bertadabbur bersama-sama dalam majlis seperti ini,”katanya ketika ditemui di Program World #QuranHour 2022 di Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini pada Selasa.

Menurutnya, mereka turut menjemput pelajar AIU daripada pelbagai negara untuk mengetuai bacaan surah As-Sajdah dalam program terbabit.

“Kita juga menjemput 20 pelajar asnaf daripada sekolah berdekatan untuk turut serta dalam program ini dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut dan Guru Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah, Datin Che Zamilah Ibrahim berkata, dia sangat bersyukur kerana berpeluang mengikuti program terbabit bersama 50 ahli persatuan yang lain.

“Kami mendapat info mengenai program keagamaan ini melalui Rumah Ngaji Kedah, dan bila saya suarakan kepada rakan-rakan lain mereka pun berminat untuk turut serta,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan World #QuranHour 2022 di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah turut meriah dengan penglibatan seramai 500 peserta secara bersemuka dan juga dalam talian.

Sumber