World #Quran Hour: Surah Al-Insan jadi panduan modal insan sejagat

World #Quran Hour: Surah Al-Insan jadi panduan modal insan sejagat

IPOH – Surah Al-Insan menjadi surah pilihan bagi World #QuranHour 1444H dengan membawa tema “Memanusiakan Manusia”.

Ini berketepatan dengan realiti hari ini yang semakin ramai manusia namun semakin kontang sifat kemanusiaan.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, surah ke 76 dalam al-Quran mengajak kita untuk meneroka sebelum kejadian kita, kemudian dilahirkan ke dunia dan diuji untuk kenal siapa kita sebenar.

“Ayat 1 menyatakan dahulu kita tidak bernama, sehingga dilahirkan dan selepas tujuh hari baru dinamkan. Maka kita bawa nama tersebut di dunia sehinggalah menghembuskan nafas terakhir. Apabila mati, nama ditulis atas batu nisan agar tidak dilupakan.

“Itu proses untuk mengembalikan manusia mengenal diri sebagai manusia. Contoh sifat kemanusiaan semakin kering dalam kalangan anak murid di sekolah ialah mereka yang tidak menghormati guru, kurang beradab dan tidak berbahasa yang baik.”

“Untuk mengembalikan kemanusiaan kepada manusia atau disebut modal insan, itu adalah satu proses yang besar. Dalam surah tersebut dinyatakan ciri-ciri golongan abrar dan golongan kufur untuk kita buat pilihan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Ditanya mengenai panduan al-Quran sebagai solusi kepada keadaan ekonomi tidak menentu hari ini, Zamri berkongsi kisah kaum Nabi Hud yang merintih akibat masalah ekonomi. Ayat 52 dalam Surah Hud menyatakan Nabi Hud AS menyeru kaumnya untuk beristighfar dan bertaubat, pasti ALLAH turunkan hujan lebat dan Dia akan menambahkan kekuatan atas kekuatan yang ada.

“Di Malaysia mempunyai segala kekuatan dari segi hujan, sungai, laut, gunung-ganang dan hutan. Jika kekuatan tersebut tidak dijaga dengan baik dan tidak disambut dengan istighfar maka barangkali kekuatan tersebut itu hilang.

“Istighfar akan menambahkan kekuatan dengan kekuatan sedia ada dan sumber yang baru. Namun istighfar bukan sekadar sebutan dengan mengira biji tasbih, tetapi pemimpin yang beristighfar, iaitu ingat ALLAH SWT dan kembali kepada-Nya tatkala gagal membawa rakyat kembali kepada Tuhan,” katanya.

Menurutnya, masalah ekonomi berlaku hari ini disebabkan sistem kapitalis. Contoh sungai semakin dicemari dan hutan semakin gondol akibat jiwa pemain-pemain ekonomi yang tidak ingat Tuhan melainkan mementingkan kewangan.

“Barangkali ada pemimpin dan kakitangan awam dan swasta yang diberikan amanah tidak melihat perkara tersebut sebagai satu kerosakan kepada alam. Ini menjejaskan sumber kekuatan sedia ada.

“Ayat 8 dalam Surah Al-Insan, ALLAH SWT memuji golongan yang terbukti berjaya melepasi ujian ALLAH sehingga diberi gelaran al-abrar. Mereka membantu dan memberi makan kepada orang disayangi, miskin, anak yatim dan orang yang ditawan,” ujarnya lagi.

Zamri berkata, surah Al-Insan mengajar kita untuk ikhlas kerana sifat tersebut adalah intipati seorang hamba ALLAH. Mereka memberi makan semata-mata mencari keredaan ALLAH, tidak memerlukan balasan mahupun ucapan terima kasih.

“Perbuatan mereka didorong berbuat begitu kerana takutkan ALLAH pada hari di mana orang bersalah, muka mereka masam.

“Jika Surah Al-Insan dijadikan panduan untuk menjadi orang ikhlas, maka tiada masalah minyak disorok, pengusaha telur kawal harta, kartel daging dan sebagainya dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Mufti Negeri Perak mengambil insiatif untuk menganjurkan World #QuranHour dengan kerjasama agensi pentadbiran SUK Negeri Perak, semua agensi agama Islam, Rumah Ngaji di Perak dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di lokasi utama SUK Negeri Perak pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April 2023.

“Pihak jabatan sentiasa memberi sokongan atas usaha baik dalam mendekatkan manusia kepada sumber kekuatan umat Islam iaitu al-Quran. Tahun ini, kami memilih rakan strategi, SUK Negeri Perak yang menjadi tempat berkumpul kebanyakan kakitangan awam sebagai lokasi utama penganjuran World #QuranHour.

“Kita berharap mesej Surah Al-Insan ini dapat dihayati untuk mengenal diri dalam masyarakat khususnya golongan penjawat awam. Peluang untuk rasuah, pecah amanah dan culas dalam kerja itu boleh berlaku di mana-mana.

“Semoga surah tersebut menjadi benteng daripada perbuatan zalim apabila difahami oleh penjawat awam. Saya juga mengalu-alukan semua jabatan boleh mengadakan World #QuranHour di lokasi masing-masing walaupun berskala kecil,” katanya.

Menurutnya lagi, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini sebagai pendedahan kepada masyarakat untuk memahami al-Quran melalui tadabbur. Mungkin ada orang beranggapan bahawa membaca al-Quran sebagai kemuncak beramal.

“Sebenarnya al-Quran perlu diamalkan dari segi konten. Itulah yang paling penting. Bagi saya, inilah cabaran al-Quran. Ia bukan keraian tapi lebih mendasar kepada kehidupan. Kita buat setakat yang kita mampu.”

“Orang ramai diharapkan untuk melihat World #QuranHour sebagai platform menjentik rasa untuk mendekati dan memahami al-Quran. Seterusnya mereka dapat mempertingkatkan kualiti bacaan dan kefahaman dengan mempelajari al-Quran dari masa ke masa,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai World #QuranHour, sila layari Facebook World Quran Hour.

Sumber