Warga Karangkraf sertai Malaysia #QuranHour

Warga Karangkraf sertai Malaysia #QuranHour

SHAH ALAM – Program Malaysia #QuranHour yang berlangsung serentak di seluruh negara turut dijayakan warga Karangkraf melalui aplikasi Zoom Meeting pada Isnin.

Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, program tersebut yang berlangsung secara dalam talian itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat.

“Pada tahun ini kita buat dalam skala normal baharu di mana kita mengikuti siaran langsung yang dibuat oleh TV AlHijrah begitu juga dengan beberapa stesen media lain.

Program Malaysia #QuranHour dihubungkan melalui aplikasi Zoom Meeting

Program Malaysia #QuranHour dihubungkan melalui aplikasi Zoom Meeting

“Alhamdulillah gerakan kita ini mendapat sambutan daripada ratusan ribu rakyat Malaysia dari seluruh negara dan juga dunia.

“Jadi bagi pihak Kumpulan Karangkraf, kita memang sangat bersyukur kerana program seperti ini dapat terus adakan walaupun berada dalam keadaan terhad,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ustaz Safri Muhammad Zein

Ustaz Safri Muhammad Zein

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, tema program Malaysia #QuranHour kali ini mengambil surah Al-Mulk dan tujuh formula kejayaan dari surah Al-Musabbihat.

Safri yang turut menghadiri program tersebut berkata, tujuh surah Al-Musabbihat itu adalah surah Al-Isra’, Al-Hadid, Al-Hasyr, Al-Saff, Al-Jumuah, Al-Taghabun dan Al-A’la.

“Surah Al-Musabbihat ini yang dikenali oleh para ulamak bahawasanya surah-surah yang dimulai dengan bertasbih kepada Allah SWT dan memuji Allah SWT.

Ustaz Safri Muhammad Zein ketika dalam program Malaysia #QuranHour

Ustaz Safri Muhammad Zein ketika dalam program Malaysia #QuranHour

“Jadi dengan adanya tiga motivasi yang disebutkan di dalam surah Al-Mulk iaitu cari keberkatan daripada ALLAH, mengingati kematian dan ahsanu ‘amala,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, program itu turut memberi kesedaran bahawa pentingnya ketaatan kepada ALLAH SWT terhadap perkembangan diri, keluarga dan negara.

Nurhayati Nordin

Nurhayati Nordin

“Itulah caranya kita menghayati erti kemerdekaan demi sebuah tamadun Keluarga Malaysia yang berbudi dan penyayang,” menurutnya.

Pada tahun ini, media utama seperti TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar Harian, Harakah, Nu Ideativ, IKIMfm, Zayan FM News Straits Times Press (NSTP) dan Denaihati.com terus menyokong pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

Penaung bagi program itu adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi, iaitu Islamic Tourim Centre (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia (MAPAM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia Tourism Council, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

Sumber