Wanita Malaysia jana lebih RM176 juta sebagai hos – Airbnb

Wanita Malaysia jana lebih RM176 juta sebagai hos – Airbnb

AIRBNB berkata wanita Malaysia secara kolektif memperoleh lebih RM176 juta pada 2022 dengan membenarkan hartanah mereka dibuka kepada tetamu sebagai rumah inap dan merasai pengalaman jangka pendek.

Dalam satu kenyataan hari ini, Airbnb berkata, wanita adalah tulang belakang dalam komuniti hos Airbnb, dan mereka merangkumi 55 peratus daripada semua hos di seluruh dunia.

Mereka memperoleh lebih daripada AS$16 bilion (AS$1=RM4.41) pada platform itu pada tahun 2022 di seluruh dunia, hampir 10 peratus lebih tinggi berbanding hos lelaki.

Ketua dasar awamnya untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan Mich Goh berkata hos wanita memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor pelancongan terutamanya di Malaysia. Menjadi hos kepada rumah inap telah memberikan wanita Malaysia peluang kewangan yang besar di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

Memandangkan kos sara hidup terus meningkat, wanita beralih menjadi penyambut kedatangan pengembara ke rumah mereka bagi memperoleh pendapatan tambahan dan berkongsi layanan serta budaya mereka dengan orang lain.

“Pada Bulan Wanita Antarabangsa ini, kami meraikan wanita yang luar biasa ini di platform kami, dan semangat keusahawanan serta semangat sepanjang hayat mereka.

“Kami komited untuk memastikan setiap wanita diiktiraf, dan menyediakan peluang kepada lebih ramai lagi untuk berkongsi manfaat pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama

Sumber