Wakaf Quran Mu’jam suntik semangat pesakit, petugas barisan hadapan

Wakaf Quran Mu’jam suntik semangat pesakit, petugas barisan hadapan

BANGI – “Pada saat getir ketika ini, hanya al-Quran terapi penyembuhan rohani bagi seluruh umat Islam bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia.”

Itu keyakinan yang diluahkan Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Dr Nordin Ahmad ketika diminta mengulas mengenai mekanisme panduan terbaik umat Islam di Malaysia ketika mendepani ancaman Covid-19.

Beliau berkata, berikutan ILIM kini dijadikan pusat kuarantin pesakit Covid-19 di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 23 Mac lalu, pihaknya mengakui sumbangan al-Quran diperlukan bagi memberi semangat kepada pesakit dan petugas barisan hadapan untuk terus berdoa agar musibah wabak berkenaan dapat ditangani.

Menurutnya, ILIM bersyukur kerana Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinergi lain menggerakkan platform Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disumbangkan kepada institusi itu semalam.

“Sebenarnya al-Quran amat diperlukan pada saat genting ketika manusia sedang memohon pertolongan daripada ALLAH SWT. Hanya Tuhan Yang Maha Esa berkuasa dan berkehendak untuk menyembuhkan wabak penyakit yang dihadapi umat manusia ketika ini.

“Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada WUIF dan Kumpulan Karangkraf kerana sudi mengagihkan sebanyak 100 naskhah al-Quran hasil sumbangan wakaf orang ramai untuk kegunaan ILIM,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis penyerahan sumbangan di bangunan pentadbiran ILIM di sini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili WUIF kepada Dr Nordin.

Hadir sama, Ketua Unit Domestik ILIM Kampus Bangi, Siti Aishah Mhd Nor dan Pendaftar Cawangan Khidmat Pengurusan, Mohammad Fairuz Mohd Nasir.

Di lokasi berasingan, Hashim turut menyerahkan sumbangan sebanyak 300 naskhah al-Quran kepada Timbalan Pengarah Hospital Sungai Buloh (Klinikal), Dr Shahabuddin Ibrahim yang mewakili hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Program Wakaf Quran Mu’jam dilancarkan pada Jumaat lalu berjaya mengumpul sebanyak 7,133 naskhah sehingga jam 5 petang semalam.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 600 naskhah al-Quran yang diwakafkan orang ramai telah diagihkan kepada Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan ILIM sejak Sabtu lalu.

“Hari ini (semalam) sahaja, sebanyak 300 naskhah al-Quran disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh dan sebanyak 100 naskhah kepada ILIM.

“Ia adalah hasil sumbangan berterusan wakaf rakyat Malaysia setelah diuar-uarkan melalui hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti ini secara bersama termasuklah Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara,” katanya.

Marhaini berkata, sumbangan wakaf yang semakin menggalakkan itu memberi tanda positif bahawa sasaran sebanyak 15,000 naskhah Al-Quran untuk diagihkan kepada hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di seluruh Malaysia mampu direalisasikan dalam tempoh yang terdekat.

“Paling penting, projek wakaf khas ini bertujuan mengaktifkan #QuranTime Corner menjelang Ramadan,” katanya.

Beliau menegaskan, fasa pertama pengagihan sumbangan al-Quran diwakafkan kepada 28 hospital yang menangani kes wabak Covid-19 sebelum diperluaskan ke hospital-hospital lain, klinik kesihatan dan pusat kuarantin pada fasa seterusnya.

Menurutnya, sebanyak 6,000 naskhah al-Quran akan diperuntukkan kepada hospital yang mengendalikan Covid-19 dan selebihnya akan disalurkan di 200 lokasi hospital, klinik kesihatan serta pusat kuarantin.

“Justeru, kami menggalakkan orang ramai atau badan-badan korporat untuk mewakafkan al-Quran kepada petugas, pesakit serta pelawat di hospital sebagai salah satu bentuk sokongan emosi dan spiritual,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.

Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *