SETIAP kejadian yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Kita acapkali terdengar orang berkata begitu setiap kali diuji ALLAH SWT.
Sesungguhnya ALLAH SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, sehingga duri yang menyucuk sekalipun dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai kifarah (penghapus dosa) agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim & Ahmad)
Berdasarkan hadis itu, jelas menunjukkan rahmat ALLAH SWT akan sentiasa bersama-sama hamba-Nya ketika dalam ketaatan, manakala keampunan ALLAH SWT pula akan sentiasa bersama-sama seseorang hamba yang bertaubat ke atas kesilapan yang dilakukan.
Seseorang Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri.
Rahmat ALLAH SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya, apatah lagi dosa seseorang hamba yang memohon keampunan kepada ALLAH Yang Maha Pengampun.
Semoga ia akan menjentik hati kita supaya bersabar dengan segala ujian yang diturunkan kepada kita.
(Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)