VTL Pulau Pinang- Singapura bakal dilancarkan

VTL Pulau Pinang- Singapura bakal dilancarkan

KUMPULAN Penerbangan Malaysia (MAG) telah mengemukakan permohonan untuk melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail berkata, permohonan untuk perjalanan antara Pulau Pinang dan Singapura telah dikemukakan beberapa bulan lalu.

Menurutnya, permohonan tersebut dibuat susulan kejayaan VTL antara Kuala Lumpur-Singapura yang dilancarkan pada 29 November lalu.

“Kita berharap dapat mengikut kejayaan sebelum ini iaitu VTL Kuala Lumpur- Singapura dengan pelaksanaan VTL Pulau Pinang-Singapura ini.

“Buat masa ini, kita masih menunggu maklum balas daripada kerajaan bagi kedua-dua negara berikutan maklum balas yang diterima ketika pelaksanaan VTL Kuala Lumpur- Singapura amat menggalakkan,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran kerjasama antara Travel Safe Alliance Malaysia (TSAM) dan Pejabat Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) di G Hotel, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Izham berkata, terdapat juga rancangan untuk VTL antara negeri lain dan Singapura serta negara Asean lain.

“Semua ini sedang dirancang dan kita akan menunggu masa yang sesuai untuk memberi maklum balas,” tambahnya.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura melancarkan VTL bagi pengembara antara kedua-dua negara yang menggunakan mod pengangkutan udara.

VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu bermula pada 29 November lalu.

Menurut Izham, kejayaan pelaksanaan VTL udara sebelum ini di beberapa lokasi wajar diambil kira sebagai indikator untuk pelaksanaan VTL udara antara Pulau Pinang dan Singapura.

Dalam perkembangan lain, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, dengan aktiviti pelancongan yang semakin meningkat pada masa ini, kerjasama dengan TSAM merupakan langkah yang tepat untuk Pulau Pinang menerajui usaha memulihkan ekonomi serta pelancongan di negeri ini.

Sumber