Versi terbaharu Proton Saga 2019

Versi terbaharu Proton Saga 2019

Dilengkapi kotak gear automatik empat kelajuan dengan ciri pintar pertama dalam kelasnya

BUAT mereka yang ternanti-nanti kelahiran model baharu ikonik Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), jenama itu baru sahaja melancarkan model Saga 2019. Sebanyak tiga varian bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Sinar Turbo percaya, pasti ramai yang terpegun dengan versi terbaharu model ‘lejen’ Proton itu yang dizahirkan dengan gaya menawan baharu.

PROTON Saga berwarna Jet Grey.

PROTON Saga berwarna Jet Grey.

Dilengkapi dengan kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama dalam kelasnya, ia bukan saja membezakannya daripada pesaing, malah turut meningkatkan nilainya.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar menyifatkan, Proton Saga sangat sinonim dengan jenama Proton yang mula diperkenalkan 34 tahun lalu. Lebih menarik, ia telah diberi sentuhan rekaan terkini sesuai untuk golongan sasarnya.

“Melalui slogan Pilihan Yang Pintar dengan tiga ciri utama iaitu gaya mengujakan, penjimatan bijak dan kestabilan mantap, Saga kini dilengkapi gaya baharu yang mana kotak gear empat kelajuan dan ciri pintar mendahului dalam kelasnya,” katanya pada majlis pelancaran Saga 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

DARELL Leikinh (lima dari kanan) merasmikan Proton Saga 2019 sempena majlis perasmian jentera ikonik itu di ibu negara, baru-baru ini.

DARELL Leikinh (lima dari kanan) merasmikan Proton Saga 2019 sempena majlis perasmian jentera ikonik itu di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Hadir sama Pengerusi DRB-Hicom Bhd, Datuk Mohammad Zainal Shaari; Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Rekaan

Bercerita tentang rekaan, sisi Saga 2019 ditonjolkan dengan ciri-ciri terhebat, namun masih mengekalkan identitinya.

Pada bahagian luar, Saga dipasangkan dengan bampar hadapan baharu. Tampak lebih agresif apabila bersepadu bersama lampu nyalaan siang dengan bahagian gril mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70, Iriz dan Persona 2019.

SKRIN sesentuh bersaiz tujuh inci terapung (floating screen).

SKRIN sesentuh bersaiz tujuh inci terapung (floating screen).

Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan. Rekaan bahagian belakangnya dilihat dilengkapi dengan spoiler bersepadu baharu dan nama Proton terletak pada bahagian penutup but.

Satu set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.

RUANG kokpik dengan beberapa bahagian yang telah diberikan pembaharuan.

RUANG kokpik dengan beberapa bahagian yang telah diberikan pembaharuan.

Menjengah ke bahagian dalaman pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada skrin sesentuh bersaiz tujuh inci terapung (floating screen). Terdapat ketersambungan fungsi hiburan dan maklumat, bluetooth, simpanan memori 16GB dan sambungan ke telefon pintar android.

Tempat duduk juga diberi sentuhan baharu. Begitu juga konsol tengah, paparan meter dengan Bantuan Pemanduan Eco dan tiga pengecas (USB).

Kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu sepadan dengan material yang digunakan dalam kabin.

Difahamkan, kotak gear baharu yang menggantikan CVT itu memberikan pengendalian lebih baik untuk daya brek sama seperti terdapat pada Iriz dan Persona. Tawaran itu sekali gus membantu mengurangkan kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH).

Tidak dilupakan sistem keselamatan Saga 2019 yang dilengkapi brek antikunci (ABS) dengan agihan brek elektronik (EBD) dan bantuan brek (BA) untuk ketiga-tiga varian. Ia turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan Isofix dengan top tethers.

Tambahan pada varian Premium ialah bantuan kawalan cerun (HHA), pengesan tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Nampaknya, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang dari RM40,000 dengan kesemua ciri itu.

Tawaran pakej

Proton turut menawarkan pakej Nilai Tambahan untuk model Saga baharu itu sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019.

Secara keseluruhannya, terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard. Ia bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun.

Pakej kadar faedah pula berkadar pembiayaan serendah 2.98 peratus setahun, manakala pakej insurans menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu mereka dengan panel Proton.

Pakej itu apabila digabungkan menyaksikan Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi penjimatan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum itu.

Sementara dengan pakej sama, varian Standard AT 1.3L, mampu menjimatkan RM2,043, dan Standard MT 1.3L, jimat RM2,291.

Saga 2019 bermula dari:Standard MT – RM32,800

Standard AT – RM35,800

Premium AT – RM39,800



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *