Usaha Jana teroka pemasaran online

Usaha Jana teroka pemasaran online

SYARIKAT pengurusan acara dan pengiklanan, Usaha Jana Sdn Bhd (Usaha Jana) mengambil langkah proaktif mengubah strategi perniagaannya dengan meneroka bidang pemasaran menggunakan platform dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Norashedy Ab Rashid berkata, langkah itu sejajar dengan normal baharu dalam perniagaan susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, penularan pandemik berkenaan telah menjejaskan perniagaan syarikat yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor itu.

Katanya, beliau juga telah mengambil langkah meluaskan sekali skop perniagaan sedia ada dengan membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Usaha Jana menerokai bidang baharu dengan membantu PKS dan syarikat pemula niaga melaksanakan penyelesaian digital untuk mengubah perniagaan mereka.

“Ia bertujuan memastikan syarikat kekal relevan dan berdaya saing berikutan penularan Covid-19 serta membantu PKS lain memanfaatkan teknologi sedia ada,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Usaha Jana yang beroperasi sejak 2011 menyediakan perkhidmatan pengurusan acara dan pengiklanan melibatkan kementerian, agensi kerajaan dan GLC.

Usaha Jana yang beroperasi sejak 2011 menyediakan perkhidmatan pengurusan acara dan pengiklanan melibatkan kementerian, agensi kerajaan dan GLC.

Menurutnya, melalui inisiatif yang diusahakan pada April lepas itu pihaknya telah memperkenalkan perkhidmatan membuat video pemasaran pada harga yang berpatutan.

“Kami tawarkan harga bermula antara RM700 hingga RM1,000 yang mana sebanyak lima syarikat telah menggunakan perkhidmatan ini.

“Syarikat yang terlibat terdiri daripada pelbagai kategori perniagaan antaranya ialah makanan dan minuman (F&B) serta fesyen,” katanya.

Individu berusia 41 tahun itu berkata, Usaha Jana menyasarkan sebanyak 50 syarikat pelbagai kategori perniagaan akan menggunakan perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini.

“Dengan menggunakan perkhidmatan ini, ia dijangka membantu PKS tempatan mengukuhkan kedudukan mereka dalam perniagaan diceburi.

“Di samping itu, ia juga dapat mendigitalisasikan operasi, meningkatkan produktiviti dan menjana pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

Konsep maya

Mohd Norashedy berkata, keupayaan menerajui virtual concept (konsep maya) serta layout (gambaran) telah memberikan kelebihan kepada syarikatnya untuk mendapatkan projek.

Katanya, kedua-dua perkara berkenaan penting kepada pengurus acara untuk meyakinkan pelanggan.

“Saya perlu bersaing dengan syarikat lain yang sentiasa tampil dengan kelainan untuk memenuhi kehendak pelanggan.

“Justeru, ketelitian dan fokus penting untuk menyediakan konsep maya yang dikehendaki pelanggan,” katanya.

Menurutnya, acara besar yang mula dikelolakan oleh Usaha Jana ialah Hari Pekerja Kebangsaan 2011.

“Bermula daripada program itu, kami diberikan amanah untuk melaksanakan beberapa projek besar lain termasuklah di Thailand dan India.

Usaha Jana yang beroperasi sejak 2011 menyediakan perkhidmatan pengurusan acara dan pengiklanan melibatkan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia juga merupakan syarikat Bumiputera yang memperoleh pensijilan ISO 45001:2018 dan ISO 9001: 2015.

ManfaatKepakaran, pengalaman dan kredibiliti menyebabkan Usaha Jana sentiasa diberikan kepercayaan untuk mengendalikan acara berskala besar.

Salah satu acara berskala besar yang diuruskan oleh Usaha Jana di ibu kota.

Salah satu acara berskala besar yang diuruskan oleh Usaha Jana di ibu kota.

Antara program yang pernah dilaksanakan ialah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Minggu Usahawan Nasional, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan sejak beberapa tahun lalu.

Usaha Jana adalah salah sebuah syarikat yang mendapat manfaat daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan pada 5 Jun lepas.

Mohd Norashedy berkata, inisiatif berkenaan banyak memberi manfaat kepada syarikat tersebut untuk memulihkan operasinya.

“Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi Usaha Jana sedikit terjejas dan Penjana banyak membantu perniagaan kami.

“Ia juga membantu syarikat untuk terus menggaji seramai 15 pekerja sedia ada dalam tempoh penularan Covid-19,” katanya.Selepas PKPP dilaksanakan, syarikat itu diberikan kembali peluang untuk menguruskan beberapa acara kementerian dan negara antaranya ialah Kempen Beli Barangan Malaysia Tahun 2020 dan beberapa projek baharu pada masa akan datang.

Salah satu projek terbesar syarikat berkenaan pada tahun ini ialah dilantik sebagai syarikat Penjenamaan Strategik bagi Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).



Sumber