Usah pandang enteng dengan kuasa doa

Usah pandang enteng dengan kuasa doa

“MEMANG sudah begitu takdir aku yang ALLAH tetapkan. Hendak buat bagaimana lagi?”

Barangkali bait-bait kata itu acapkali kita dengar daripada individu di sekeliling kita. Kadangkala kata-kata yang terpacul dari bibir mereka itu begitu menjengkelkan. Mana tidaknya, ia seolah-olah memperlihatkan mereka enggan berusaha dan ‘berjuang’ hidup di muka bumi yang fana ini.

Sudah tahu diri itu mungkin serba kekurangan, apalah salahnya jika seluruh kudrat tulang empat kerat dan buah fikiran digunakan sebaik mungkin. Bukankah ALLAH SWT menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan?

Justeru, istilah mudah mengalah dengan takdir tidak sepatutnya menjadi halangan. Sebaliknya, berusahalah sehabis daya untuk mencapai apa yang dihajati.

Benar, memang takdir telah ditetapkan sejak di luh mahfuz lagi. Namun, sebagai hamba, kita sebenarnya digalakkan memohon dan mengadu segalanya kepada-NYA menerusi doa. Kuasa doa sebenarnya begitu hebat hinggakan mampu mengubah sesetengah takdir yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

Apakah takdir yang boleh diubah? Apakah cara untuk mengubah takdir?

Dua bahagian takdir

USTAZ BAKHTIAR FITRI

USTAZ BAKHTIAR FITRI

Persoalan itu Sinar Islam lontarkan kepada pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid.


Beliau mengajak seluruh umat Islam menelusuri pecahan takdir yang terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, takbir mubram iaitu takdir yang muktamad dan sudah tertulis sejak azali lagi.

“Contohnya, kematian. Ia tak boleh ubah kerana kita akan mati. Bila waktunya? Wallahua’lam kita tak tahu. Begitu juga dengan hari kiamat yang tidak boleh diubah,” jelasnya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjelaskan tentang takdir kedua, ujar Ustaz Bakhtiar Fitri, ia dipanggil sebagai takdir muallaq. Takdir jenis itulah yang boleh berubah-ubah kerana ada sebab yang akan mengakibatkan ia berubah.

“Ya, takdir muallaq itu memang telah ditetapkan oleh ALLAH, tetapi ia boleh berubah. Contohnya, jodoh yang mana ALLAH sudah menetapkan jodoh kita. Namun, kita boleh berusaha dengan cara yang lebih baik lagi untuk mendapatkan jodoh yang lebih baik daripada yang kita sangkakan.

“Begitu juga rezeki, meskipun ia sudah ditetapkan, tetapi rezeki kita boleh jadi bertambah baik atau berkurang. Kenapa jadi begitu? Sebab yang pertama ialah atas usaha kita dan kedua ialah doa.

“Macam kematian contohnya. Kita memang akan mati, tetapi ada satu hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Siapa yang menghubungkan silaturahim akan panjang umurnya”. Itulah antara sebabnya,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh ditolak ketetapan ALLAH SWT melainkan dengan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat al-Hakim, Ibnu Hibban dan Imam al-Tirmizi)

Bersungguh

Agamawan itu menambah, masyarakat digalakkan supaya berdoa bersungguh-sungguh dengan usaha yang berterusan jika ingin mengubah takdir kita.

“Kemudian, kita kena ingat, bila kita minta dengan ALLAH SWT dengan usaha kita, ALLAH SWT akan bagi. Ia disebut dalam sebuah hadis,” katanya.

IBU bapa perlu mendidik anak mereka supaya sentiasa memohon dan berdoalah kepada ALLAH SWT sejak dari kecil.

IBU bapa perlu mendidik anak mereka supaya sentiasa memohon dan berdoalah kepada ALLAH SWT sejak dari kecil.

Dalam pada itu, Ustaz Bakhtiar Fitri turut menegur sikap segelintir masyarakat yang hanya menyerahkan dirinya kepada takdir tanpa mahu berusaha sedikit pun.

Agamawan itu berkata, memang golongan berkenaan sering berkata ‘sudah ALLAH takdirkan begitu’ apabila berlaku sesuatu. Ia sebenarnya tidak menepati konsep tawakal.

Ujar beliau, apabila berkehendakkan sesuatu, kita kena bertawakal iaitu berusaha dan berdoa kepada ALLAH SWT. Tawakal itu bermaksud berserah kepada ALLAH SWT selepas berusaha. Jika tidak, apa-apa yang berlaku nanti, dia akan menyalahkan ALLAH SWT.

“Sedangkan semua manusia dilahirkan sama sahaja melainkan orang kurang upaya (OKU). Kalau OKU bersungguh-sungguh, dia boleh jadi lebih kaya daripada kita. Berapa ramai orang yang cacat kaki, tetapi berjaya? Berapa ramai OKU yang buta, tetapi boleh hafaz al-Quran. Ia sebenarnya atas usahanya sendiri.

“Sebab itulah dalam kehidupan kita adanya konsep ikhtiar. Ikhtiar bermaksud kita berhak memilih. Hendak berjaya atau gagal? Kalau hendak berjaya, kena berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Doa, usaha dan sedekah

USTAZ HANAFI

USTAZ HANAFI

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi mengulas tentang formula bagaimana takdir itu boleh berubah menerusi formula DUS.

Ujar beliau, DUS merupakan doa, usaha, sedekah dan syukur. Agamawan itu turut memberikan situasi bagi memberikan gambaran jelas tentang formula DUS berkenaan.

“Katakan ditakdirkan rezeki kita RM1 bilion, tetapi kita malas berusaha dan berdoa, maka kita tidak akan dapat RM1 bilion itu. Satu lagi situasi yang mana ALLAH SWT sudah tetapkan rezeki kita RM1 bilion, namun kita rajin doa, berusaha dan sedekah, maka RM1 bilion tadi boleh bertambah jadi RM2 bilion.

“Apabila kita berdoa, ALLAH SWT simpati dan DIA boleh tambah takdir ALLAH yang ditulis. ALLAH boleh tambah apa yang baik daripada takdir itu. Begitu juga mereka yang berusaha, ALLAH akan bagi. Selain itu, dengan bersedekah walaupun rezeki kita ditakdirkan banyak itu sahaja, tetapi ALLAH boleh menambahkan rezeki kita tadi.

“Satu lagi ialah syukur yang mana ALLAH dalam firman-NYA menerusi Surah Ibrahim, ayat 7 menyatakan siapa yang bersyukur akan ditambah nikmatnya,” katanya.

Menyentuh bab ajal, kata Ustaz Hanafi, meskipun ia ialah ketentuan ALLAH SWT, namun DIA tidak menentukan cara bagaimana kematian kita. Mati juga bergantung kepada usaha kita.

“ALLAH tentukan umur kita sampai berapa tahun, tetapi tidak tentukan kita mati bagaimana. Bagaimana kita mati itu ialah pilihan kita sama ada dalam berbuat dosa atau dalam keadaan terbaik.

“Namun, kena ingat, ajal dengan umur boleh bertambah dengan doa misalnya doa panjang umur, usaha (jaga kesihatan) dan sedekah (memanjangkan umur). Itu memang ada disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Adapun, Ustaz Hanafi berkata, paras rupa dan keturunan merupakan takdir yang tidak boleh diubah.

“Contohnya, dilahirkan daripada keluarga miskin, ia tidak boleh diubah tetapi untuk berjaya atau menjadi kaya, ia adalah dengan doa, usaha, sedekah dan syukur. Begitu juga bangsa, kaum dan warna kulit yang tidak mampu diubah,” ujar beliau.

Wuduk

MOHAMAD SHUKRI

MOHAMAD SHUKRI

Sinar Islam turut mendapatkan pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad tentang keperluan berwuduk sebelum berdoa.

Ujar tokoh agama itu, berwuduk sebelum berdoa menjadi antara penyebab ALLAH SWT memakbulkan permintaan seorang hamba-NYA kerana wuduk sebenarnya menghilangkan sebab-sebab untuk ALLAH SWT menolak doa hamba-NYA sebab ia ibarat melengkapkan diri kita dari segi kebersihan.

Katanya, apabila berwuduk, kita bukan sahaja bersih dari segi dalaman, tetapi juga luarannya.

“Apapun, jika kita ada sebab-sebab yang boleh menyebabkan Tuhan tolak permintaan (doa) kita, maka ALLAH akan menolaknya. Ia ibarat kita menghantar borang permohonan kerja. Apabila tidak lengkap diisi, ia tetap ditolak walaupun permohonan sudah dihantar kerana tidak menepati standard ditetapkan.

“Begitu juga dengan doa. Jika kita memenuhi syarat-syaratnya, insya-ALLAH permintaan kita tidak akan ditolak. Cuma berwuduk sebelum doa itu perkara yang betul, maknanya diri kita sudah lengkap dan bersih sama ada dari segi zahir dan batin,” katanya kepada Sinar Islam.

Apapun, Mohamad Shukri mengingatkan bahawa sama ada ALLAH SWT akan ‘meluluskan’ doa kita atau tidak, ia terpulang kepada-NYA kerana DIA yang Maha Mengetahui.

“Namun, sebagai hamba, berdoalah kepada-NYA. Doa itu sebenarnya permintaan atau permohonan. Sebab itu kita kena minta kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Mencipta dan yang menulis segala-galanya.

“Apabila kita memohon (doa), terpulang kepada ALLAH SWT (untuk meluluskannya atau tidak). Kalau kita tidak mohon, bagaimana hendak dapat? Samalah konsepnya apabila kita hendak mendapatkan sesuatu pekerjaan juga,” ujar beliau.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *