UOB Malaysia sumbang RM500,000 untuk keperluan perubatan kritikal

UOB Malaysia sumbang RM500,000 untuk keperluan perubatan kritikal

UNITED Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) kepada Dana Pandemik Covid-19 Mercy Malaysia.

Dana itu ditubuhkan bagi menyediakan pekerja penjagaan kesihatan negara ini dengan peralatan perubatan kritikal mencukupi yang diperlukan untuk menjaga pesakit selain melindungi pekerja barisan hadapan yang menjalankan tugas tanpa mengenal penat lelah semasa penularan koronavirus (Covid-19).

Sumbangan UOB Malaysia itu adalah sebahagian daripada usaha bantuan daripada seluruh indusri di bawah ABM untuk menyokong Mercy Malaysia, sebuah pertubuhan bantuan sukarelawan yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan kemanusiaan.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong, berkata, sumbangan itu bertujuan memenuhi keperluan memperoleh lebih banyak lagi peralatan perubatan kritikal yang diperlukan untuk merawat bilangan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

“Sumbangan juga akan membantu menyediakan bekalan penting bagi keselamatan profesional perubatan dan barisan hadapan negara kerana merekalah yang melindungi dan menyelamatkan nyawa dalam perjuangan kolektif menentang virus ini,” katanya dalam satu kanyataan.

Tambahnya, sumbangan bank ke arah usaha kolektif ABM itu akan membantu menyokong kesiapsiagaan kritikal, kesediaan dan tindak balas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan.

“Dana ini akan digunakan untuk menyediakan peralatan perubatan kritikal seperti ventilator, respirator penulen udara yang berkuasa dan kit ujian, selain menyediakan ruang pengasingan untuk rawatan pesakit.

“Malah, dana juga membolehkan pihak hospital mendapatkan bantuan sukarelawan tambahan untuk menjaga pesakit dan membantu dalam saringan kesihatan serta menyediakan makanan dan bekalan penting kepada doktor, sukarelawan dan pesakit,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *