UOB bantu syarikat tempatan kuasai digital

UOB bantu syarikat tempatan kuasai digital

UNITED Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) memilih 16 perniagaan untuk mengikuti Program Jom Transform oleh The FinLab yang juga program transformasi perniagaan pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, ia diwujudkan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan mendigitalkan operasi mereka bagi memacu pertumbuhan perniagaan.

Menurutnya, perniagaan-perniagaan yang dipilih untuk menyertai program itu terdiri daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan dan pengedaran makanan, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, perundingan perniagaan, automotif, logistik dan pengilangan.

“Perniagaan-perniagaan yang menyertai program ini akan menerima subsidi dari UOB Malaysia. Mereka juga akan diberi tunjuk ajar oleh rakan-rakan kerjasama program.

“Sepanjang tempoh tiga bulan program ini dijalankan, pemilik-pemilik bagi 16 perniagaan ini akan dipadankan dengan rakan-rakan teknologi bagi merintis penyelesaian digital dan menilai keberkesanan segala penyelesaian tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau berkata, UOB komited dalam menyokong kemajuan perusahaan-perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam pelbagai peringkat pertumbuhan yang berbeza.

“Menerusi Program Jom Transform, kami ingin membantu perniagaan-perniagaan di Malaysia untuk memanfaatkan teknologi bagi memacu pertumbuhan perniagaan dan bersiap sedia untuk masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bersama, The FinLab, Pauline Sim berkata, The FinLab teruja untuk menawarkan program itu kepada perniagaan di Malaysia.


“Sejak beberapa bulan lalu, kami mendapati ramai ahli perniagaan mahu membangunkan hala tuju jangka panjang yang strategik untuk transformasi perniagaan dengan menjadikan penggunaan teknologi digital sebagai kerangka utama dalam perancangan mereka,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *