Untung bersih suku kedua TNB susut kepada RM1.1 bilion

Untung bersih suku kedua TNB susut kepada RM1.1 bilion

KEUNTUNGAN bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkurangan kepada RM1.11 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2019 daripada RM1.23 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2018.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM12.87 bilion daripada RM12.49 bilion bagi tempoh yang sama.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2019, keuntungan bersih syarikat utiliti itu susut 20.3 peratus kepada RM2.67 bilion daripada RM3.35 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama 2018, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu perolehan meningkat 5.4 peratus kepada RM26.12 bilion daripada RM24.77 bilion bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan berasingan, TNB berkata keuntungan bersih susut berikutan langkah menerima pakai Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 – Pajakan, berkuat kuasa Januari 2019, serta pelarasan pengawalseliaan lain dan kos kewangan lebih tinggi.

“Ia menjejaskan keuntungan bersih separuh pertama tahun kewangan 2019 dengan sebanyak RM112.2 juta. Ini adalah pelarasan bukan tunai bagi syarikat,” menurut TNB.

TNB berkata, perbelanjaan operasi meningkat 6.3 peratus pada separuh pertama tahun kewangan 2019 disebabkan terutamanya kos penjanaan lebih tinggi sejajar kenaikan harga gas dan penggunaan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Amir Hamzah Azizan berkata, portfolio pelaburan domestik dan antarabangsa menunjukkan sumbangan positif sebanyak RM70 juta berbanding kerugian RM92.9 juta pada tempoh sama 2018.


“Kami sedang merekodkan kemajuan daripada usaha peningkatan semula selepas lima sukuan mencabar dalam bahagian antarabangsa dan ini menjadi petanda baik bagi TNB dalam langkah berterusan memacu usaha transformasi menjelang pembaharuan industri yang masih tertangguh kepada Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI).

“Seiring dengan transformasi untuk menguruskan perniagaan teras kami secara lebih baik, kami tumpu kepada usaha memastikan portfolio antarabangsa TNB terus memberi nilai tambah kepada syarikat,” katanya.

Menurutnya, di peringkat domestik TNB akan terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan untuk melancarkan perubahan berperingkat dan terurus menerusi rangka kerja MESI 2.0 dengan mengambil kira kepentingan utama semua pihak berkepentingan, terutama pengguna.

“TNB kekal komited untuk mencatatkan nilai jangka panjang bagi pihak berkepentingan TNB melalui pembayaran dividen optimum secara konsisten bagi setiap tahun kewangan.

“Berasaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh pada suku kedua dan jangkaan pertumbuhan lebih baik terhadap ekonomi Malaysia, prestasi syarikat juga diunjurkan kekal stabil bagi baki tempoh tahun kewangan 2019,” katanya. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *