Untung bersih Astro tak berubah

Untung bersih Astro tak berubah

SYARIKAT televisyen berbayar, Astro Malaysia Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM176.19 juta bagi suku pertama berakhir 30 April, 2019 (Q1) iaitu hampir tidak berubah berbanding RM174.72 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan suku semasa adalah RM1.23 bilion iaitu susut sebanyak RM76.5 juta atau 5.8 peratus berbanding suku tahun sebelum ini sebanyak RM1.31 bilion susulan perolehan langganan lebih rendah.

“Keadaan pasaran semakin mencabar dengan perubahan struktur yang berterusan dari segi kandungan global, industri media serta ancaman cetak rompak,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Syarikat itu akan terus menumpukan usaha memperkukuh perniagaan teras Pay TV dan NJOI (perkhidmatan televisyen satelit langganan percuma) dengan meneliti semula proposisi nilai pelanggan dan kandungan yang lebih segar.

Menurut Astro, langkah memanfaatkan bilangan pelanggannya akan membolehkan syarikat itu meraih perolehan baharu dalam jalur lebar, produksi bersama kandungan serantau dan mantap, rangkaian perdagangan dan pemasaran yang dipacu oleh data serta memperhebatkan khidmat pelanggan untuk meningkatkan lagi penglibatan para pelanggan.

“Selain usaha membabitkan perolehan, inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan akan dapat memberi nilai kepada pemegang saham,” katanya.

Bagi suku tersebut, perolehan televisyen adalah RM1.09 bilion, susut RM68.2 juta atau 5.9 peratus berbanding suku sama sebelum ini pada RM1.15 bilion akibat penurunan hasil langganan.

“Penyusutan itu diimbangi oleh kos kandungan, pemasaran dan pengedaran yang rendah.”

Perolehan radio bagi suku semasa berjumlah RM59.5 juta, turun sebanyak RM8 juta atau 11.9 peratus berbanding RM67.5 juta pada suku sama sebelum ini.

Ini disebabkan oleh persekitaran operasi yang tidak dijangka dan menyebabkan pelanggan pengiklanan mengurangkan perbelanjaan.

Selain itu, perolehan saluran beli-belah dari rumah mencatat RM83.5 juta pada suku semasa yang merupakan konsisten berbanding suku sama sebelum ini iaitu RM83.5 juta.

Prestasi pendapatan itu dijejaskan oleh kelemahan sentimen pengguna yang menyebabkan pelanggan membeli barangan yang berniilai lebih rendah, kata syarikat itu. – Bernama

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *