Unjuran KDNK 2022 boleh dicapai susulan pembukaan semula sempadan

Unjuran KDNK 2022 boleh dicapai susulan pembukaan semula sempadan

JAKARTA – Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun ini berikutan pembukaan semula sempadan negara minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu ini akan memberi kesan yang sangat positif kepada ekonomi terutamanya sektor perkhidmatan.

Katanya, pembukaan sempadan amat dinantikan oleh seluruh rakyat dan komuniti perniagaan termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Kita lebih yakin untuk mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5.5-6.5 peratus,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat Malaysia Healthcare Expo 2022 di sini, anjuran Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) selama empat hari yang berakhir hari ini.

Menurut Mustapa, Johor bakal menerima impak ekonomi yang besar memandangkan aktiviti rentas sempadan darat Malaysia dan Singapura kembali rancak.

Pada awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan pembukaan semula sempadan mulai 1 April.

Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi bersama MHTC menjangka pelancong kesihatan dari Indonesia akan mencapai jumlah yang sama direkodkan sebelum pandemik Covid-19 menjelang 2025.

Pada 2019, lebih 675,000 rakyat Indonesia mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia dan hanya seramai 635 orang untuk tempoh 2020 hingga 2021.

Dengan pembukaan sempadan, katanya beliau berharap kedatangan mereka akan beransur-ansur naik dan seterusnya meningkatkan kembali industri pelancongan kesihatan negara.

“Malaysia menjanjikan penjagaan kesihatan yang selamat untuk pelancong perubatan Indonesia,” katanya.

Empat wakil pelancongan negeri dan 10 hospital ahli MHTC mempamerkan tawaran penjagaan kesihatan yang terbaik antaranya dalam bidang kesuburan, kardiologi, onkologi dan Hepatitis C.

Mustapa diiringi Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia (Chargé d’affaires), Adlan Mohd Shaffieq; Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif; Pengarah Pemasaran Indonesia MHTC, Farah Delah Suhaimi dan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Junus Suhid. – Bernama

Sumber