UniMAP, KTG jalin kerjasama hasil mesin kenaf

UniMAP, KTG jalin kerjasama hasil mesin kenaf

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) menjalinkan kerjasama dengan Kenaf Teknologies Global (KTG) dalam menghasilkan mesin dehidrasi dikenali ‘Kenaf Rapid and Efficient Dehydration System’ bagi membantu mempercepatkan proses pengeringan gentian kenaf.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, kerjasama yang dijalinkan tersebut menjadi batu loncatan kepada kedua-dua pihak melangkah ke arah kemajuan teknologi khususnya dalam mengembangkan lagi industri kenaf di negara ini.

Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju pembahagian geran dalam menghasilkan sistem automasi dan UniMAP akan sentiasa berusaha menyumbangkan kepakaran ilmu dan teknologi kepada KTG melalui penyelidikan jangka masa panjang dan jangka masa pendek.

“KTG telah memberikan kepercayaan kepada UniMAP untuk membangunkan mesin dehidrasi yang mampu membantu untuk memendekkan tempoh pengeringan gentian kenaf daripada tiga hari kepada satu hari sekaligus meningkat produktiviti mereka.

“KTG menyumbangkan dana syarikat sebanyak RM55,000 kepada UniMAP melalui Malaysian Technical University Network (MTUN) Research Matching Grant.

“Pihak MTUN melalui UniMAP turut memperuntukkan sejumlah RM50,000 yang menjadikan jumlah dana bagi menjalankan penyelidikan ini adalah sebanyak RM105,000,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Program Menandatangani Memorandum Perjanjian KTG dan UniMAP di Taman Bersepadu Industri Kenaf (IKIP) di Batu Bertangkup Chuping dekat sini.

Dari kanan Zaliman, Jazman Shahar, Nurulhisham dan Azman melihat batang kenaf yang telah dihancurkan sebelum menjalani proses seterusnya di Taman Bersepadu Industri Kenaf (IKIP) di Batu Bertangkup Chuping pada Selasa.

Dari kanan Zaliman, Jazman Shahar, Nurulhisham dan Azman melihat batang kenaf yang telah dihancurkan sebelum menjalani proses seterusnya di Taman Bersepadu Industri Kenaf (IKIP) di Batu Bertangkup Chuping pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pertanian Perlis, Nurulhisham Yaakob, Presiden Kenaf Venture Global (KVG) Sdn. Bhd, Azman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif KVG Sdn. Bhd, Jazman Shahar Abdollah, Pegawai Negeri Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Perlis, Mohammad Nazri Romli dan Ketua Pusat Kecemerlangan penyelidikan dan Teknologi Sukan Permotoran (Motech) UniMAP, Prof Madya Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Zaliman berkata, usaha itu selari dengan visi dan misi Motech bersama menyelesaikan masalah industri melalui inovasi terkini supaya menghasilkan graduan yang holistik dalam pelbagai kebolehan sekaligus membantu meningkatkan penglibatan kedua-dua pihak di persada dunia.

Sementara itu, Jazman Shahar berkata, penggunaan mesin juga disasarkan untuk mempercepatkan proses pengeringan kerana proses pengeringan konvensional mengambil masa sehingga tiga hari untuk mengurangkan jumlah penahanan air kepada 40 peratus dan ia juga tertakluk kepada keadaan cuaca.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara KTG dan UniMAP dilihat sebagai inisiatif proaktif yang diambil oleh pihaknya dalam usaha menghasilkan produk terbaik di barisan pemprosesan, meningkatkan produktiviti sekaligus memulangkan keuntungan lebih baik.

“Sebagai sebuah entiti yang berminat untuk memperjuangkan penanaman kenaf serta teknologi dalam amalan pertanian menuju ke arah Pertanian 4.0, inisiatif ini boleh dianggap sebagai langkah yang lebih dekat dalam mencapai matlamat yang dimahukan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Sumber