UMW Toyota jual 22,447 kenderaan pada suku pertama 2022

UMW Toyota jual 22,447 kenderaan pada suku pertama 2022

KUALA LUMPUR – UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah merekodkan jumlah jualan sebanyak 22,447 unit pada suku pertama 2022 dan menjangkakan aliran menaik bagi tahun ini.

Syarikat kereta itu merekodkan jumlah jualan sebanyak 8,386 unit Toyota dan 101 unit Lexus, menjadikan jumlah jualan sebanyak 8,487 unit pada Mac berbanding 6,432 unit pada Februari lepas.

“Jualan bulan ke bulan yang dicapai untuk Lexus pada Mac adalah pada 101 unit manakala jualan bulan sebelumnya adalah sebanyak 66 unit. Toyota mencapai jualan 8,386 unit berbanding 6,366 unit pada Februari, diterjemahkan kepada peningkatan 32 peratus dalam unit yang dijual,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, hasil jualan yang positif itu disebabkan oleh promosi bulan Mac yang sedang berjalan sekarang, ia menawarkan ganjaran seperti manfaat nilai tambah bernilai RM4,000 untuk kenderaan paling laris Toyota seperti Vios dan Yaris.

Jenama automotif bukan nasional itu turut menjangkakan peningkatan jualan dengan pelancaran produk baharunya yang akan datang pada akhir tahun ini.

Presidennya Ravindran K berkata syarikat itu sentiasa mengkaji dan menyesuaikan diri dengan keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan ketidaktentuan, bekerja rapat dengan pembekal dan memantau perkembangan untuk memastikan kesan minimum terhadap pengeluaran dan pelanggannya.

“Ketika Malaysia beralih ke fasa endemik, UMW Toyota Motor menghargai sokongan yang diterima daripada pelanggan kami selama ini. Kami kekal komited untuk mencapai pertumbuhan secara berterusan untuk jenama Toyota serta bagi industri automotif tempatan melalui produk inovatif dan penawaran penyelesaian kami,” katanya. – Bernama

Sumber