Umur panjang, rezeki luas apabila kita hubungkan silaturahim

Umur panjang, rezeki luas apabila kita hubungkan silaturahim

REALITI kehidupan pada hari ini, ramai yang tidak kenal dengan jiran masing-masing walaupun bukanlah baru duduk di sesebuah kawasan perumahan itu.

Lebih menyedihkan lagi apabila ia sebenarnya berpunca daripada sikap sendiri yang enggan bergaul dengan masyarakat.

Ya, memang kita sibuk dengan kerja masing-masing, namun apalah salahnya jika kita menegur dan mengambil tahu hal di sekeliling komuniti kita.

Sebenarnya, mereka yang menyambung silaturahim tidak kiralah sesama jiran atau saudara, ALLAH SWT akan memanjangkan umurnya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana menyambung silaturahim boleh memanjangkan umur?

Secara logiknya, ALLAH SWT telah menetapkan, usia hidup kita pada sekian-sekian umur dan meninggal pada usia yang telah ditakdirkan.

Namun, disebabkan kita menghubungkan silaturahim, ALLAH SWT telah memberkati kita dengan dipanjangkan umur.

Manakan tidak, apabila kita meluaskan hubungan sesama insan, pergaulan kita juga akan semakin luas.

Maka, lebih ramailah yang mendoakan kebaikan selagi mana kita tidak melakukan kejahatan.

Alangkah indahnya kehidupan kita apabila hubungan sesama insan atas dasar menyebarkan bahagia dan cinta.

Bukan susah untuk kita membina silaturahim.

Sebagai tanda perkenalan, cukuplah dimulakan dengan senyuman, seterusnya apabila sesekali bersua, bolehlah bertegur sapa dan berbual serta menghulurkan juadah untuk mengeratkan hubungan jika ia melibatkan jiran sebelah kita.

Percayalah, hubungan silaturahim yang dibina akan menarik aura rezeki yang hebat.

Kepada yang tidak mengenali jiran sebelah, masih belum terlambat untuk kita menyapa dan memulakan salam perkenalan dengan mereka.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *