Uji bakat Calpis Soda One In A Million yang kedua berakhir dengan kejayaan di Sabah dan Pulau Pinang minggu lalu. Sambutan di kedua-dua lokasi ini amat menggalakkan, dengan peserta-peserta yang menampilkan bakat luar biasa yang meninggalkan kesan mendalam sepanjang dua hari acara berlangsung.
Dalam temu bual di Sabah dan Pulau Pinang, Sarah dan Shafiq berkongsi pandangan mereka mengenai keunikan peserta-peserta dari kedua-dua negeri tersebut. Menurut mereka, kebanyakan peserta bukan sahaja kelihatan bersedia tetapi turut mempamerkan kredibiliti yang mengagumkan, melebihi jangkaan mereka sepanjang sesi uji bakat.
Sarah menyatakan bahawa uji bakat di Sabah jauh berbeza dengan yang di Johor. Banyak peserta di Sabah yang menonjol dengan gaya nyanyian yang unik dan cara mereka mengekspresikan diri. Walaupun tidak semuanya merupakan penyanyi dengan vokal yang kuat, mereka tetap bersinar dalam kategori lain seperti busking atau menonjolkan keistimewaan tersendiri. “Kesemua peserta di Sabah sangat mengagumkan, baik lelaki mahupun wanita, dan mereka menunjukkan prestasi luar biasa. Sabah memang luar biasa, tak kira siapa mereka, bakat mereka amat mengagumkan,” kata Sarah. Sarah juga menambah bahawa bakat di Sabah memang tiada tandingan, dan beliau terkejut dengan kualiti yang ditampilkan oleh peserta-peserta di sana, yang melebihi jangkaannya.
Sementara itu, Shafiq Erwin menekankan bahawa peserta di Pulau Pinang ramai yang memiliki suara yang hebat, namun ada yang kurang persiapan dalam memilih lagu atau genre yang sesuai. “Di Penang, banyak yang bagus dalam rock dan balada, tapi kita mahukan sesuatu yang lebih pelbagai. Ada juga yang kurang keyakinan dan persiapan diri. Saya lebih memberi perhatian pada kualiti suara dan penampilan yang lebih matang,” jelas Shafiq. Beliau juga menyatakan bahawa banyak peserta berbakat, termasuk yang termuda berusia 15 tahun. Walaupun ada yang tidak berjaya melepasi saringan, ia bukan disebabkan kurang bakat, tetapi lebih kepada usaha yang perlu ditingkatkan.
Program OIAM yang ikonik ini terus menjadi platform hebat untuk mengasah bakat penyanyi baru dan mereka yang mahu memperluaskan kerjaya muzik. Jadi, peluang ini terbuka bukan hanya untuk pencinta muzik, tetapi juga untuk penyanyi yang mahu mengasah kemampuan mereka di pentas yang lebih besar. Oleh itu, para artis dari pelbagai genre digalakkan untuk menyertai uji bakat yang akan datang untuk merebut peluang memenangi hadiah utama yang bernilai sehingga RM1 juta.
Uji bakat seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini, 16 dan 17 November 2024 (Sabtu dan Ahad), bertempat di AEON Hall Aras 4, AEON Mall Shah Alam dan Blok D, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya, dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ini adalah peluang terbaik untuk bakat-bakat muda yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan kebolehan mereka dan berpotensi untuk menjadi bintang dalam Calpis Soda One In A Million!
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai program yang penuh keterujaan ini, yang akan disiarkan di TV3 bulan Disember ini. Ikuti @TV3Malaysia di semua platform sosial untuk maklumat terkini, dan nikmati keseronokan Calpis Soda One In A Million, bersama Calpis Soda, minuman soda kegemaran anda.
Untuk maklumat lanjut, pastikan anda mengikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, Twitter (@TV3Malaysia), dan TikTok (@TV3MalaysiaOfficial).