UDA agensi MEDAC pertama terima pensijilan ABMS

UDA agensi MEDAC pertama terima pensijilan ABMS

UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pembangunan hartanah, pengurusan aset dan fasiliti muncul sebagai agensi pertama di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) sejak 31 Ogos tahun ini.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pensijlan itu berfungsi sebagai medium untuk menyelaraskan pelan dan prosedur berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam mengendalikan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

“Pengiktirafan ini akan dapat mengukur tindakan antirasuah berdasarkan piawaian antarabangsa, serta selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“Saya yakin ISO 37001:2016 ABMS serta Tatacara Mencukupi UDA akan mengukuhkan kewibawaan dan memupuk nilai integriti kakitangan Kumpulan UDA.

“Pensijilan ini juga akan meneruskan legasi UDA untuk bebas daripada rasuah dan tindakan melanggar etika,” katanya selepas menerima sijil ABMS daripada badan pensijilan antarabangsa, ABAC Center of Excellence Limited, United Kingdom (ABAC), yang diwakili Pengurusnya, Nor Hidaya Aziz.

Norliza berkata, UDA akan memastikan setiap tindakan yang diambil untuk pemerkasaan Bangsa Usahawan dalam setiap segmen perniagaannya adalah berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan bagi membanteras rasuah, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa. – Bernama

Sumber