Ubah gaya hidup lebih sihat

Ubah gaya hidup lebih sihat

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak pengambilan makanan harian menunjukkan secara jelas tahap kesihatan seseorang pada masa depan.

“You are what you eat”, adalah pepatah Inggeris yang menggambarkan tentang bagaimana makanan boleh mempengaruhi kehidupan seharian. Meskipun ramai yang mengamalkan gaya hidup sihat namun ramai juga yang tidak berdisiplin dalam isu membabitkan pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia yang membuat kajian tentang kesedaran orang ramai berkaitan kesihatan mendapati hanya 6.6 peratus rakyat Malaysia yang celik kesihatan berbanding dengan 12 peratus rakyat Amerika Syarikat. Kajian itu mengambil kira pengetahuan tentang gaya pemakanan sihat termasuk pengambilan kalori, jumlah hidangan dan pengambilan lemak.

Celik kesihatan bermaksud seseorang itu mampu menerima, memproses serta memahami maklumat asas kesihatan, sekali gus dapat menjalani serta mengekalkan cara hidup yang sihat.

Kita tidak boleh bergantung kepada sistem dan kemudahan kesihatan semata-mata jika konsep gaya hidup yang betul tidak diamalkan. Kesihatan tidak hanya melibatkan soal makanan tetapi berkait rapat dengan proses gaya hidup seperti penjagaan diri dan emosi.

Selain pengambilan makanan tidak seimbang, merokok dan alkohol, masalah emosi dan tekanan juga merupakan salah satu punca kesihatan merosot dan kemudian timbulnya penyakit.

World Health Organization (WHO) mengatakan, kesihatan yang baik turut merangkumi kesihatan mental, bukan fizikal semata-mata. Ini menunjukkan komponen kesihatan mental dalam kehidupan seseorang sangat penting. Jika kesihatan mental terjejas, ia juga boleh menyebabkan gejala fizikal kerana ia saling berhubung kait.

Kesihatan mental merujuk kepada tindak balas seseorang ketika berdepan tekanan dan cara menanganinya. Situasi dan personaliti pada ketika itu adalah faktor yang membentuk kesihatan mental seseorang. Tekanan boleh berpunca daripada individu, jenis pekerjaan, tempoh bekerja yang panjang atau faktor persekitaran. Konflik dalam kalangan teman sekerja atau ketua antara sebab yang paling kerap ditemui.

Kegagalan menangani kesihatan mental atau sering mengalami gangguan mental mendedahkan individu kepada penyakit mental lebih serius seperti kemurungan, kerisauan melampau, bipolar dan skizofrenia. Keadaan ini menyebabkan timbulnya masalah kesihatan fizikal dan menjejaskan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

Persediaan kewangan atasi masalah kos

Gaya hidup masa kini yang serba pantas dan mencabar telah mengakibatkan peningkatan masalah kesihatan dan penyakit yang ketara. Benar, situasi kehidupan hari ini memang penuh dengan risiko, namun penjagaan kesihatan sepatutnya tidak termasuk dalam risiko tersebut.

Sedar atau tidak, kemerosotan tahap kesihatan boleh menjejaskan kehidupan secara menyeluruh apatah lagi jika anda tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk merawat dan mengubati penyakit yang dihidapi.

Persediaan perlu dilakukan sejak dari peringkat awal membina keluarga. Hidup bukan hanya untuk cukup makanan dan pakaian. Sekecil mana pun pendapatan yang diperoleh, agihan simpanan untuk saat-saat kecemasan terutamanya ketika sakit perlu disediakan.

Seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat kini, kos sara hidup termasuk rawatan kesihatan semakin meningkat, menyebabkan ramai yang terpaksa menangguhkan rawatan yang akhirnya menjadi kritikal gara-gara masalah wang. Meskipun kemajuan teknologi dan penemuan perubatan pada abad ini membanggakan, tetapi hakikatnya kos penjagaan kesihatan tetap mahal.

Pengeluaran kesihatan yang ditawarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu alternatif untuk membantu anda membiayai kos rawatan kesihatan. KWSP membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan untuk diri sendiri, ibu bapa (kandung, angkat, tiri, mentua), pasangan, anak (kandung, angkat, tiri) dan adik-beradik kandung.

Bagaimanapun, jika seseorang itu hanya bergantung kepada pengeluaran wang KWSP untuk urusan kesihatan, simpanan akan berkurangan sekali gus menjejaskan keperluan masa depan selepas persaraan.

Justeru, bagi memastikan kos perubatan mampu dibiayai, pelan simpanan khas untuk kesihatan untuk diri sendiri dan ahli keluarga masih belum terlambat untuk dimulakan. Menabunglah melalui perlindungan insurans merupakan satu keperluan utama masa kini. Pelbagai pelan yang ditawarkan oleh agensi-agensi insurans membabitkan nyawa iaitu pelan kewangan yang melindungi ahli daripada risiko seperti kesakitan, ketidakupayaan, memasuki wad, pembedahan dan juga kematian.

Dapatkan perlindungan insurans melalui syarikat yang sah dan fahami dahulu setiap pelan yang dibeli. Terdapat pelbagai pelan perlindungan kesihatan ditawarkan dan kesemuanya mempunyai satu ciri asas iaitu untuk memberi bantuan kewangan ketika dimasukkan ke hospital, menjalani pembedahan atau rawatan lanjutan.

Apabila telah memutuskan jenis perlindungan perubatan yang dimahukan, maka akan bermulalah kos pelan membabitkan premium atau bayaran bulanan. Pastikan anda konsisten dalam urusan pembayaran supaya pelan anda tidak ditamatkan.

Kesimpulannya, kita berhadapan dengan pelbagai pilihan di dalam urusan harian. Membuat pilihan dan keputusan adalah sebahagian daripada proses kematangan. Sebenarnya, tiada istilah terlambat bagi setiap orang untuk memulakan amalan gaya hidup sihat.

Begitu juga dalam hal berkaitan kewangan, setiap orang harus mempunyai satu pelan yang khusus. Lebih awal anda membuat perancangan, lebih awal anda maju menuju ke arah matlamat hidup dengan lebih berkesan.

Cara mudah urus kesihatan dengan ‘Konsep 3J’

Jaga pemakanan, jangan berlebihan

-Islam melarang umatnya makan secara berlebihan berdasarkan sabda Nabi SAW:“Jangan makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.” (Hadis Riwayat Bukhari) Disiplin pengambilan makanan ini mampu mengawal tubuh daripada diserang penyakit. Pastikan tiga ruang untuk tiga benda dalam tubuh diisi dengan seimbang iaitu sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lagi untuk makanan.

Jaga emosi, sentiasa optimis

-Rasulullah SAW turut menasihati, ‘marah’ tidak boleh diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. Perasaan marah boleh menyebabkan kesihatan terjejas. Tidak putus asa, bersabar, tidak iri hati dan menjadi seorang yang pemaaf merupakan penawar paling baik kepada masalah dalaman manusia. Manusia yang sentiasa positif mampu mengekal tahap kesihatan yang baik dan sempurna

Jaga kesejahteraan diri di pejabat

-Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang juga penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) ada menyuarakan tentang kepentingan menangani isu stres di tempat kerja. Atasi masalah dengan cara mencari rakan sekerja yang boleh berkongsi pandangan dan cerita. Anda juga boleh bertemu dan bersemuka dengan ketua, luahkan apa yang membelenggu diri secara profesional. Paling penting, elak perkara negatif dan ‘buang’ masalah peribadi di tempat kerja. Jika anda mengalami tanda-tanda kemurungan atau stres terlampau di pejabat, pastikan berjumpa dengan kaunselor!



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *