Tym, Jaja lali ejekan

Tym, Jaja lali ejekan

Dua wanita ini membuktikan berkulit gelap bukan penghalang untuk mereka berjaya dalam industri fesyen

SIRI 1

SIAPA sangka, siapa menduga di sebalik kerancakan membina nama dalam industri fesyen tanah air, dua wanita ini menyimpan kisah suka dan duka mengenai ton kulit yang dimiliki.

Baik model, Jaja Talib mahupun penata gaya, Tym Fatimah, mereka berdua sering menjadi bahan jenaka rakan sebaya sejak zaman persekolahan.

Seolah-olah memiliki kulit gelap itu menjadi kesalahan dan bebanan dalam kalangan masyarakat.

Lebih menyedihkan apabila melihat sikap segelintir individu yang menyifatkan kulit hitam adalah sesuatu menjengkelkan.

“Saya pernah disindir hitam sama seperti warna kuali. Label sedemikian cukup memeritkan sehingga saya sering tertanya-tanya kenapa kita perlu mengejek warna kulit seseorang?

“Walhal, semua ciptaan Allah adalah cukup sifatnya. Bagaimanapun, kecaman tersebut menguatkan semangat saya untuk membuktikan wanita kulit hitam bukan individu kotor dan kami juga boleh berjaya,” tegas Jaja.

Sementara itu, pemilik nama asal Fatimah Puteh (Tym Fatimah) meluahkan, ketika dibangku sekolah rendah warna kulitnya turut menjadi usikan sehingga dia menitiskan air mata.

Namun, menginjak remaja dia sudah lali dengan panggilan sinis ‘hitam’ kerana menyedari ejekan tersebut hanya terbit daripada kelompok yang kurang matang.

Kepada WOW Femina, kedua-dua figura itu meluahkan bahawa mempunyai kulit hitam sebenarnya mendatangkan tuah. Tidak percaya ikuti wawancara ekslusif wartawan IZYAN LIYANA MOHD DARIF.

1) Pernahkah anda berdepan dengan individu yang prejudis terhadap kulit gelap?

JAJA: Jawapannya, ya!. Ketika di bangku sekolah gara-gara memiliki kulit gelap segelintir rakan menyamakan saya hitam seperti kuali dan persis wanita Afrika.

Setiap hari usai pulang dari sekolah pasti saya akan menangis kerana tak sanggup menerima ejekan sedemikian. Hati pedih dan sayu.

Bagaimanapun, lama-kelamaan saya lali dengan kutukan dan bersyukur kerana memiliki ibu dan ayah yang sentiasa menasihatkan supaya bersabar dan meniupkan semangat. Merekalah sumber kekuatan saya sehingga hari ini.

TYM: Lazimnya, wanita berkulit gelap akan ‘merana’ ketika menjalani kehidupan pada zaman kanak-kanak. Maklumlah, nampak sahaja rakan sebaya yang hitam maka bermacam-macam bahan ejekan keluar.

Saya juga tidak terkecuali dan sering menjadi mangsa buli kutukan kawan-kawan. Lebih menyedihkan apabila ayah turut terkena tempias.

Ejekan yang kerap didengar apabila mereka memerli nama ayah Puteh, tetapi anak hitam. Saya tidak melawan sebaliknya, hanya menangis dan memendam perasaan sendirian.

2) Sepanjang berkecimpung dalam industri fesyen dan kosmetik di Malaysia, apakah momen yang menjentik hati Jaja dan Tym?

JAJA: Pernah pada satu ketika, seseorang yang tidak bertanggungjawab mempertikai dan merendahkan keupayaan saya sebagai model hanya disebabkan berkulit gelap.

Ini termasuklah, mengalami situasi segelintir klien yang menolak khidmat model saya kerana bimbang imej produk mereka terjejas.

Namun begitu, saya tidak berputus asa dan mengalah sebaliknya, berusaha mengubah corak pemikiran klien dengan membuktikan bahawa warna kulit bukan penghalang. Apa yang penting penampilan dan cara penyampaian tugasan.

TYM: Apabila melihat taktik pengiklanan yang sentiasa memaparkan model dan selebriti berkulit cerah.

Secara tidak langsung, ia mendorong ramai wanita memasang impian untuk mendapatkan warna kulit yang sama. Bagi mereka putih itu cantik dan ingin tampak cantik perlu putih.

3) Apakah pendapat anda terhadap kelompok individu yang mempunyai persepsi negatif kepada wanita berkulit gelap?

JAJA: Dalam bahasa mudah, golongan berkenaan tidak memahami erti bersyukur dan menidakkan kurniaan Allah.

Seperti kita sedia maklum, setiap manusia itu dilahirkan rupa paras, sifat, warna kulit dan fizikal yang memiliki keunikan tersendiri.

Justeru, mengapa mesti kita mempersoalkan perbezaan yang diberikan oleh-NYA. Lagipun semua yang kita miliki hanya pinjaman di dunia seketika.

TYM: Dalam kehidupan sukar untuk kita memuaskan hati semua orang. Perkara ini bukan sahaja melibatkan perbezaan rupa paras atau rona kulit, malah hasil kerja kita juga akan menjadi pertikaian.

Justeru, penyelesaian terbaik kita bersyukur dengan anugerah ini dan menjadi diri sendiri.

4) Komen Jaja dan Tym mengenai trend wanita berkulit gelap yang berlumba-lumba ingin memiliki kulit cerah bak orang Korea sehingga sanggup menggunakan produk kecantikan timbang kilo?

JAJA: Bagi saya ia adalah hak masing-masing. Lazimnya, mereka yang bertindak sedemikian kurang keyakinan diri kerana berkulit gelap dan beranggapan bahawa kulit cerah itu lebih dihargai oleh orang sekeliling.

Bagaimanapun, tidak menyokong pihak yang menggunakan produk timbang kilo kerana bimbang tindakan itu membuatkan wanita terdedah pada masalah kulit kelak.

TYM: Kebiasaanya, mereka yang teruja menggunakan produk timbang kilo bagi mendapatkan efek cerah dengan cepat kurang pemahaman tentang kulit eksotik seperti ini.

Saya bersyukur memiliki kulit gelap yang banyak manfaatnya berbanding wanita berkulit cerah.

Buktinya, kulit gelap mempunyai lapisan melanin bagi melindungi wajah daripada penyakit kulit dan sinaran ultra violet yang boleh menyebabkan selar matahari (sunburn).

5) Apakah industri fesyen dan kecantikan tempatan semakin terbuka dengan individu berkulit gelap ataupun sawo matang?

JAJA: Alhamdulilah….sepanjang lima tahun menceburkan diri dalam bidang ini penerimaan label fesyen dan kosmetik terhadap wanita seperti saya amat positif.

Bahkan, jika diperhatikan kebanyakan jenama mula buka mata mendapatkan khidmat model berkulit gelap mengatur langkah di pentas fesyen atau beraksi untuk kempen iklan.

Bertambah menarik, label kosmetik tempatan juga mengambil inisiatif menghasilkan rangkaian kosmetik yang sesuai diaplikasikan untuk setiap warna kulit.

TYM: Jujur saya katakan, bidang fesyen tanah air sangat terbuka dan menghargai wanita berkulit gelap. Situasi ini amat menggembirakan kerana saya boleh menjadi diri sendiri.

6) Sudah berapa lama anda berdua terlibat dalam industri fesyen sebagai model dan penata gaya?

JAJA: Tahun ini genap lima tahun dalam industri fesyen. Tidak sangka penglibatan awal menyertai pertunjukan fesyen pada zaman kampus telah membawa saya bergiat aktif hingga hari ini.

Lebih mengujakan, selain pentas peraga saya juga berpeluang menghiasi kempen iklan pelbagai jenama besar.

TYM: Jika dihitung sudah mencecah sedekad saya dalam industri. Minat menceburkan diri dalam kerjaya penata gaya timbul selepas mendalami jurusan fesyen di UiTM, Seri Iskandar, Perak.

Disebabkan tiada minat mendalam terhadap bidang jahitan maka selepas tamat belajar saya berkecimpung dalam bidang retail (industri fesyen).

Pada masa sama, melakukan kerja menata gaya separuh masa dan akhirnya kini sepenuh masa. Alhamdullilah….



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *