Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 bakal mencipta sejarah dengan persaingan sengit dalam kategori Filem Terbaik apabila tujuh filem cereka dipilih ke senarai akhir. Filem-filem tersebut ialah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie, dan Hungry Ghost Diner.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, keputusan ini adalah hasil pertimbangan mendalam oleh panel juri yang menilai setiap filem berdasarkan kekuatan unik mereka.
“Pada mulanya, hanya lima filem dijangka disenarai pendek. Namun, kualiti tinggi yang ditampilkan membuatkan kami bersetuju memilih tujuh filem untuk senarai akhir. Ini membuktikan betapa pesatnya perkembangan industri filem tempatan,” jelas Azmir.
Beliau turut menekankan peningkatan kualiti filem Malaysia yang kini mendapat pengiktirafan antarabangsa, selain mencatat kejayaan komersial.
Tahun ini, FFM 33 menerima lebih 100 pencalonan, menjadikannya antara edisi paling kompetitif selepas dua tahun festival ini tidak dianjurkan. Filem-filem yang bertanding merangkumi pelbagai genre dan bahasa, termasuk filem berbahasa Melayu, Cina, serta karya aksi, drama, dan sains fiksyen.
“Setiap filem telah melalui proses penilaian menyeluruh. Barisan juri meneliti dari pelbagai aspek untuk memastikan pemenang yang dipilih benar-benar layak,” tambah Azmir.
Azmir juga menyatakan hasrat FINAS untuk memperluaskan pengalaman juri tempatan ke peringkat antarabangsa bagi meningkatkan standard penjurian pada masa hadapan.
Antara yang menjadi perhatian ialah filem Abang Adik arahan Jin Ong dengan 11 pencalonan dan Imaginur arahan Nik Amir Mustapha yang mendominasi dengan 15 pencalonan daripada keseluruhan 24 kategori. Azmir menyifatkan semua filem dalam senarai akhir ini sebagai pemenang kerana kejayaan mereka mencuri perhatian juri dan penonton.
Selain meraikan pencapaian industri filem, FFM 33 juga akan menzahirkan solidariti terhadap mangsa banjir yang melanda negara. Pihak penganjur akan membuat pengumuman khas pada malam kemuncak sebagai tanda sokongan kepada mereka yang terjejas.
Acara kemuncak FFM 33 akan berlangsung pada Sabtu ini, jam 8.30 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur. Majlis tersebut akan disiarkan secara langsung di TV2 dan saluran YouTube FINAS, memberikan peluang kepada rakyat Malaysia menyaksikan detik-detik gemilang industri perfileman tanah air.