Tudung bawal RM50,000, paling mahal di dunia

Tudung bawal RM50,000, paling mahal di dunia

SYARIKAT hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive memperagakan tudung paling mahal yang pernah dihasilkan di dunia bernilai RM50,000 di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, tudung paling mahal di dunia itu menjadi milik seorang ahli perniagaan dari Kuantan berusia 35 tahun yang menempahnya melalui butik premium, ByQiss by Bawal Exclusive di Pahang.

Katanya, kejayaan penghasilan tudung tersebut sekali gus memadamkan rekod jualan sehelai tudung mereka sebelum ini bernilai RM33,000 oleh seorang wanita dari Kelantan pada tahun lalu.

“Tudung mewah ini dihasilkan sepenuhnya menggunakan kain jenis Voile, yang diimport dari Jepun dan bertatahkan lebih 10 warna batu kristal Swarovski.

“Ia dibuat sepenuhnya di Austria dengan ilham padang pasir berbunga, sesuai dengan personaliti pemiliknya,” katanya pada majlis penyampaian tudung termahal tersebut di Hotel St. Regis di sini.

Walaupun terkenal dengan tudung mewah, Bawal Exclusive turut menawarkan pelbagai pilihan rekaan dan warna tudung bermula dengan Bawal Tabur serendah RM57 sehelai.

Mengimbau perjalanan perniagaannya, Haliza berkata, tiada siapa yang menjangka perniagaan yang beliau mulakan bersama suami, Mohd Rosli Awang pada tahun 1998 kini mampu menjadi jenama tudung yang semakin terkenal.

“Bermula di gerai kecil di Jalan Tunku Abdul Rahman, Bawal Exclusive kini bukan sahaja memiliki bangunan sendiri, bahkan turut mempunyai 10 butik premium dan 35 ejen jualan di seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pemilik butik ByQiss by Bawal Exclusive, Datin Hamizan Putih berkata, walaupun ada pihak yang mempersoalkan kewajaran membeli tudung bernilai ribuan ringgit, namun tidak salah untuk para wanita dihadiahkan atau menghadiahkan diri sendiri dengan tudung eksklusif tersebut.

“Sebagai wanita yang istiqamah dalam menjaga aurat, tidak salah rasanya untuk memakai tudung eksklusif ini kerana ia akan turut memberi motivasi kepada wanita untuk bekerja lebih keras terutamanya dalam kalangan wanita pantai timur yang terkenal dengan semangat keusahawanan mereka,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *