Transaksi TH boleh diakses melalui CIMB Clicks

Transaksi TH boleh diakses melalui CIMB Clicks

PELANGGAN CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) kini boleh melakukan transaksi berkaitan Tabung Haji (TH) apabila bank terbabit memperkenalkan perbankan dalam talian (online banking) menerusi CIMB Clicks.

Perkhidmatan yang memberikan kemudahan kepada hampir sembilan juta pendeposit TH itu membolehkan penyimpan TH melakukan transaksi berkaitan TH seperti pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya, pindahan wang ke akaun TH, pertanyaan baki simpanan serta pendaftaran dan pembatalan link akaun TH kepada akaun CIMB.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, perkhidmatan berkenaan secara keseluruhannya boleh diakses oleh pelanggan CIMB tidak kira sama ada mereka mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic di mana-mana dan pada bila-bila masa.

“Kemudahan dan akses atas talian ini akan ditambah nilai dari semasa ke semasa, selaras dengan iltizam kami untuk membangun CIMB sebagai sebuah Bank Digital untuk masa hadapan.

“Saya merasakan perkembangan terkini ini adalah tepat pada masanya dalam kita berusaha untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu dan memberi alternatif terbaik kepada ‘touch points’ yang lain.

“Kami dengan sukacitanya menyarankan kepada lebih empat juta pelanggan bumiputera CIMB untuk menghubungkan akaun CIMB mereka kepada akaun TH sedia ada bagi menikmati pelbagai kemudahan perbankan antara kedua akaun ini.

“Saya berharap kerjasama strategik ini akan berterusan dan memberi nilai tambah kepada para pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, kerjasama strategik itu akan meningkatkan akses perkhidmatan TH daripada lebih 10,000 rangkaian perkhidmatan kepada jumlah lebih tinggi kerana potensi perkhidmatan perbankan dalam talian adalah besar.

“Ini membolehkan pendeposit untuk melakukan urusan tanpa perlu pergi ke pejabat TH.

“TH menyokong apa jua usaha rakan strategik kami mengaplikasi teknologi perbankan terkini untuk kemudahan semua pendeposit mengakses perkhidmatan yang ditawarkan TH.” ujar beliau.

Perkhidmatan perbankan dalam talian CIMB Clicks boleh dicapai menerusi laman sesawang https://www.cimbclicks.com.my.



Sumber