Trak baharu Hino 700 Series AMT 16 kelajuan

Trak baharu Hino 700 Series AMT 16 kelajuan

GERGASI peneraju kenderaan komersial tempatan, Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (HMSM) mengumumkan pelancaran model siri baharu trak Hino 700 Series.

Dilengkapi dengan transmisi Penghantaran Automatik-Manual (AMT) 16 kelajuan, model baharu tersebut direka khusus untuk industri logistik dan pengedaran.

Trak Hino 700 Series unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun berkenaan ditawarkan dalam konfigurasi 4×2, 6×2 dan 6×4 Prime Mover. Turut dibekalkan ciri bantuan kuasa, menjadikan penukaran gear yang lebih mudah ketika di kelajuan yang tinggi.

Tawaran itu pastinya membantu mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu berbanding melakukan penukaran gear dan memijak klac secara kerap. Pemanduan selesa dan lebih santai.

Pun demikian, terdapat juga opsyen untuk memilih transmisi manual ketika keadaan yang memerlukan.

Enjin common-rail Euro3 yang lebih berkuasa dilengkapi dengan pengecas turbo intercooler.Walaupun ia dibangunkan sepenuhnya di Jepun, jentera itu boleh menggunakan bahan api diesel B10 tanpa sebarang modifikasi terhadap komponen mahupun servis berkala. Itu mengurangkan jejak karbon di dalam operasi.

Dari segi keselamatan, Hino 700 Series juga hadir dengan penawaran sistem brek antikekunci (ABS), ruang kabin dioptimumkan, manakala penggunaan rasuk berkekuatan tinggi di bahagian pintu dan front under-run prevention (FUP).

Keselesaan pemandu juga tidak dipandang mudah. Tempat duduk bersuspensi udara dan didatangkan dengan bentuk tiga dimensi yang mampu menyokong postur duduk pemandu dan mengurangkan keletihan.

Hino 700 Series AMT baharu juga menjanjikan kitaran hayat penyelenggaraan yang lebih lama.

Hino Total Support Customer Center (HTSCC) sentiasa bersedia dalam usaha Hino memberi sokongan penuh kepada pelanggan terutama dalam aspek selepas jualan sekali gus memaksimumkan jangka hayat kenderaan dan mengurangkan kos berkaitan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *