TNB, Press Metal Aluminium di tempat teratas Global ESG Monitor

TNB, Press Metal Aluminium di tempat teratas Global ESG Monitor

[DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Press Metal Aluminium menduduki tangga teratas mendahului senarai syarikat lain di bawah FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) dalam ketelusan perniagaan yang mampan berdasarkan laporan Global ESG Monitor (GEM).

Pengasas Bersama GEM, Michael Diegelmann berkata, kemasukan 30 syarikat Malaysia dalam GEM 2022 mencerminkan komitmen negara terhadap ketelusan amalan perniagaan seiring dengan prosedur rangka kerja antarabangsa.

“Dengan purata skor 54 daripada 100 mata, indeks Malaysia menduduki tempat kelima bersama di samping Dow Jones antara 10 indeks yang dikaji.

“Penarafan FBMKLCI bukan sahaja mempamerkan ketelusan yang mampan, tetapi juga menyerlahkan keperluan untuk pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih mendalam dan terperinci di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Global ESG Monitor (GEM), sebuah inisiatif penyelidikan yang mengkaji ketelusan ESG dalam pelaporan bukan kewangan syarikat terbesar di dunia, mendedahkan bahawa syarikat Malaysia menggunakan rangka kerja, piawaian dan alat strategik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus mereka ( pelaporan ESG).

Malaysia tidak mempunyai kandungan dan tahap perincian yang sesuai diperlukan untuk ketelusan optimum, sekali gus meletakkan kedudukannya di bahagian tengah dalam kalangan rakan serantau serta global.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Penyelidikan GEM, Ariane Hofstetter berkata, Malaysia berjaya memenuhi rangka kerja antarabangsa, namun setiap syarikat perlu memberi penekanan terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir untuk masa depan yang lebih mampan.

“Walaupun syarikat Malaysia cemerlang dalam mematuhi rangka kerja antarabangsa, adalah penting mereka menyediakan maklumat yang lebih komprehensif tentang aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus,”jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perspective Strategies, Andy See berkata, ketelusan pelaporan ESG adalah penting untuk memaklumkan dan melibatkan pihak berkepentingan kerana ia telah diwajibkan untuk semua syarikat senarai awam Malaysia sejak 2016.

“Walaupun masih terdapat banyak halangan untuk syarikat Malaysia diatasi dalam hal ketelusan, secara keseluruhannya, ini adalah berita baik untuk pelabur dan pihak berkepentingan lain ketika kami bergerak ke arah yang betul.

“Kami percaya ini hanyalah langkah pertama usaha untuk menonjolkan kepentingan ketelusan ESG dalam laporan kemampanan untuk syarikat awam di Malaysia,” katanya.

Sumber