TNB akan bina tempat pengecas EV di sepanjang lebuh raya PLUS

TNB akan bina tempat pengecas EV di sepanjang lebuh raya PLUS

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membina infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sebagai sebahagian daripada kerjasamanya dengan PLUS Malaysia Bhd, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din pada Selasa.

Syarikat utiliti itu melabur RM90 juta untuk menyokong ekosistem EV dalam tempoh tiga tahun.

“TNB menyasarkan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) bagi memperoleh nilai pasaran RM1.3 bilion menjelang 2030 dan mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi strategik dalam merangsang pertumbuhan ekosistem BEV,” katanya pada taklimat bersama pengarang media di sini pada Selasa.

Pada Mac tahun ini, TNB dan PLUS mengumumkan kerjasama bagi mengurangkan pelepasan karbon di lebuh raya PLUS melalui inisiatif kemampanan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan kemudian, kedua-dua syarikat itu berkata, inisiatif tersebut melibatkan pembangunan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), pemasangan pemantauan kecekapan tenaga dan sistem fotovoltan solar di kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS.

Selain PLUS, Baharin berkata TNB juga sedang berbincang dengan pengendali lebuh raya serta pihak berkuasa jalan persekutuan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, pasaran EV berpotensi untuk 3,300 tempat pengecasan bagi 33,350 BEV di jalan raya menjelang 2025 dengan hasil elektrik tahunan mencecah RM80 juta, yang dijangka meningkat kepada 18,000 tempat pengecasan bagi 524,409 BEV dan hasil elektrik tahunan adalah sebanyak RM1.25 bilion menjelang 2030.

“Menjelang 2030, kami menjangkakan setengah juta EV akan berada di jalan raya dengan keperluan pengecasan elektrik 2.3 TWh, bernilai RM1.26 bilion. Ini juga bermakna pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 4.4 juta tan dengan mengambil kira kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) di jalan raya,” tambahnya.


Potensi yang memberi impak positif terhadap iklim dan keuntungan syarikat menyebabkan pembangunan ekosistem EV menjadi keutamaan yang jelas untuk TNB, katanya.

Di samping membina infrastruktur pengecasan, TNB juga akan menyediakan kursus peningkatan kemahiran dan kemahiran semula untuk industri EV, elektrifikasi kira-kira 4,200 kenderaan TNB sendiri, menaja kajian berkaitan EV dan memupuk gabungan dalam kalangan pemain sektor EV, seperti ZEVA (Persatuan Kenderaan Pelepasan Sifar). – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber