TM laksanakan pelbagai inisiatif sokong pakej Prihatin

TM laksanakan pelbagai inisiatif sokong pakej Prihatin

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan negara untuk kalangan pelanggan, pekerja dan golongan memerlukan sepanjang lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu meliputi akses percuma untuk semua saluran di TV unifi termasuk saluran premium dan unifi PlayTV serta diskaun 20 peratus bagi filem-filem Video-on-Demand (VOD) di kategori HyppFlicks untuk semua pelanggannya.

Ia turut menawarkan pakej hotspot 999G LTE untuk pengguna pasca bayar unifi Mobile, iaitu satu rangsangan daripada pas hotspot LTE 10GB sedia ada mereka dan pas data percuma tanpa had tujuh hari untuk pelanggan prabayar unifi Mobile #BEBAS.

Bagi perniagaan, TM menawarkan pas hotspot percuma unifi Mobile Biz LTE bagi pelanggan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) unifi, akses percuma platform Penyelesaian Pemasaran Digital dan diskaun 20 peratus untuk semua perkara berkaitan.

Syarikat telekomunikasi itu turut menawarkan bantuan kewangan khas membabitkan rakan perbankan unifi membabitkan agihan dana sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat dan pemberian moratorium sehingga enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, TM menyambut baik langkah kerajaan membentangkan pakej rangsangan yang disifatkannya sebagai holistik, prihatin dan dapat memacu kesejahteraan ekonomi rakyat dan perniagaan kecil yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

“Di TM, kami amat memahami bahawa aspek kebersambungan ini amat kritikal pada masa ini dan sebagai pengupaya aspirasi Malaysia menjadi Negara Digital, kami ada untuk membantu semua orang duduk di rumah sepanjang tempoh PKP itu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Selain itu, TM menyokong pusat penyelarasan negara untuk kementerian-kementerian dan perkhidmatan penting dengan menubuhkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) baharu untuk Kementerian Kesihatan (KKM), dikendalikan oleh ejen pusat panggilan TM ONE untuk membantu pertanyaan berkaitan Covid-19 dan KKM.

Syarikat itu juga menyediakan Pusat Arahan 24/7 bagi menyokong sektor awam dan perusahaan melakukan operasi kritikal masing-masing dari rumah serta di lapangan.

TM turut mengecualikan caj semua panggilan penting ke atas talian hotline dan kecemasan, termasuk CPRC KKM, cawangan negeri, hospital saringan dan yang menerima kes Covid-19 dan talian PKP. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *